Menteri, KSU jangan 'masam muka' - Tun Mahathir
Rahimah Abdullah
November 28, 2019 16:36 MYT
November 28, 2019 16:36 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan mana-mana menteri Kabinet agar tidak mewujudkan masalah dengan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian masing-masing bagi melancarkan pentadbiran kerajaan.
Jelasnya, beliau menyedari bahawa konflik berlaku mungkin disebabkan sesuatu perkara, namun setiap permasalahan yang timbul perlu diselesaikan secara bersama.
“Benda ni adjustment. PH ini dulu dia pembangkang dan kerajaan dulu ajar supaya benci kepada pembangkang tetapi sekarang ini orang yang benci itu tiba-tiba jadi kerajaan jadi nak perbetulkan sikit.
“Saya suruh mereka janganlah bermasalah dengan KSU tetapi sesetengah itu ada sebabnya. Kita cuba kurangkanlah. Nak buang sampai lapan orang susahlah.
"Jadi kita kena belajar dan berbuat baik dan mereka akan bekerja. Kalau kita tunjuk muka masam, susah sikit,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di sini pada Khamis.
Tun Dr Mahathir bagaimanapun mengakui konflik yang mungkin berlaku kepada kementerian terlibat adalah disebabkan pentadbiran di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu.
“Kadang-kadang itu ada juga berlaku bahawa pegawai lama ni dia sudah tabiat dia sokong BN. Susahlah sikit. Konflik memang ada. Negara lain dia buang langsung kerajaan lama. Kita buang yang terlibat rasuahlah,” ujarnya.
Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa hampir 10 pegawai kementerian disyaki membocorkan maklumat kerajaan dan perkara itu dibangkitkan beberapa menteri dalam mesyuarat kabinet.
Laporan portal itu juga menyebut ada beberapa menteri meminta agar KSU dan pegawai kanan kerajaan dipindahkan dari kementerian.
#Barisan Nasional
#Ketua Setiausaha
#konflik
#KSU
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#pentadbiran kerajaan
#Perdana Menteri