Menteri Komunikasi pilih Kampung Tebat Kering sebagai kampung angkat
Bernama
Oktober 20, 2024 06:30 MYT
Oktober 20, 2024 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memilih Kampung Tebat Kering di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebagai kampung angkatnya di bawah Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau dikenali sebagai Santuni MADANI.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata pihaknya akan memastikan pelbagai aspek berkaitan keperluan komuniti di kampung itu terbela.
"Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim minta bukan sekadar aspek fizikal tetapi juga melihat kepada aspek komuniti dan isu-isu, sebagai contoh kenapa ramai tidak lepas (peperiksaan) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau tidak hadir (untuk menduduki) SPM, atau mungkin masalah pengangguran.
"PM minta kita luangkan lebih masa dan berpijak di bumi yang nyata. Beliau tidak mahu menteri atau pegawai atasan seolah-olah berada di awangan. Perlu fahami masalah rakyat," katanya kepada pemberita selepas Fiesta Deepavali di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy, malam tadi.
Pada 8 Mei lepas, Fahmi dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet berkata semua menteri diminta mengambil kampung angkat selaras saranan Perdana Menteri agar setiap pemimpin di negara ini menjaga sebuah kampung.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata usaha ini bertujuan menyelami isu setempat dan menyelesaikan seberapa banyak masalah yang dihadapi penduduk.
Sebelum ini, Kampung Orang Asli (KOA) Kelinsing, Sepang, Selangor dipilih menjadi Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi bagi menentukan penanda aras terbaik dalam memastikan sektor pelancongan, kesalinghubungan dan kemudahan asas dapat dinikmati oleh rakyat.
Inisiatif ini memudahkan penyampaian maklumat kepada penduduk setempat berkaitan program dan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
-- BERNAMA