Menteri Kewangan bukan maksum, tapi keterbukaannya perlu dipuji - Ahmad Zahid
Firdaus Azil
November 19, 2020 15:20 MYT
November 19, 2020 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Biarpun Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz bukan orang politik, namun pendirian beliau untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan dan pembangkang serta kesediaan melakukan perubahan terhadap Belanjawan 2021 adalah terpuji.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Tengku Mohd Zafrul memahami keperluan politik serta kesengsaraan rakyat, biarpun beliau berlatarbelakangkan perbankan dan korporat.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau percaya Tengku Mohd Zafrul akan terus bersedia melakukan perubahan terhadap Belanajwan 2021 yang signifikan untuk kebajikan rakyat.
“Sebagai insan biasa, tentulah YB Menteri Kewangan bukan maksum, jauh dari kesempurnaan. Tentu ada kekurangan dalam Belanjawan 2021, di mana saya mengharapkan semua ahli ahli di Dewan ini sedia memahaminya.
"Namun Menteri Kewangan telah melakukan engagement bersama dengan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Sikap terpuji ini harus diakui kita semua. Ini adalah keterbukaan yang amat kita alu-alukan. Malah beberapa adjustment akan terus dilakukan demi untuk melihat ekonomi negara akan keluar dari perangkap kepayahan yang luar biasa sekarang,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Berucap lanjut, beliau berkata, terdapat beberapa golongan sasar yang dilihat tidak diberikan perhatian dalam belanjawan tersebut, antaranya pengusaha bas pesiaran dan bas sekolah yang mengalami kemalapan perniagaan susulan penutupan sektor pelancongan dan sekolah-sekolah di seluruh negara.
“Dan saya harap kumpulan ini terutamanya pengusaha bas, yang bas sekolah yang kini tanpa murid dan pelajar kerana sekolah ditutup.
“Pengusaha bas persiaran yang selama ini menjadi penyumbang dalam industri pelancongan. Mereka turut sengsara akibat kemuraman pelancongan. Mereka juga turut bayar sewa beli di samping tekanan syarikat insurans yang mengenakan premium tinggi,” katanya lagi.
Selain itu, Ahmad Zahid berharap kerajaan turut dapat memberi tumpuan kepada penyewa premis di bangunan milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan kerana mereka tidak mendapat pelepasan moratorium yang sewajarnya.
“Bagaimana pula moratorium untuk penyewa premis perniagaan di bawah GLC sendiri dan badan-badan kerajaan? Begitu juga penyewa rumah PPR, rumah murah, rumah mampu milik yang tidak diberikan moratorium walaupun patutnya badan kerajaan atau syarikat tempatan atau pihak berkuasa tempatan harus mendahulukan dan ikuti apa yang disarankan Menteri Kewangan.
“Bagaimana pula penyewa premis perniagaan? malah GLC tidak memberikan moratorium kepada penyewa berkenaan kecuali Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan GLC tertentu,” katanya lagi.
#Zahid Hamidi
#Tengku Mohd Zafrul
#Tengku Zafrul
#Menteri Kewangan
#Dewan Rakyat
#Belanjawan 2021
#Kuala Lumpur
#Parlimen
#ekonomi
#politik
#bas
#sektor pelancongan
#pembangkang
#Barisan Nasional