Menteri, ketua jabatan perlu kemuka nama kampung minggu depan
Sinar Harian
Mei 6, 2024 10:55 MYT
Mei 6, 2024 10:55 MYT
PUTRAJAYA: Barisan menteri Kabinet dan ketua jabatan perlu mengemukakan nama kampung pilihan masing-masing pada minggu depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan yang diperkenal bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh rakyat tidak boleh memakan masa yang lama.
"Itu satu pendekatan baharu. Saya belum tahu ada pendekatan sebegini pernah dibuat di dunia.
"Saya tidak berani jamin ia satu yang berhasil. Tetapi saya fikir ia boleh," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Menurutnya, ketua jabatan yang turun ke kampung tidak boleh membawa pangkat mereka sebaliknya bertindak sebagai anak kampung.
"Setiap kampung ada masalah dadah, keciciran, mental, orang kurang upaya (OKU).
"Kalau ada masalah keciciran, tulis kepada Jabatan Pendidikan. Saya fikir pemahaman mereka lebih baik," katanya.
Ujar beliau, segala program dan bantuan kepada golongan sasar perlu diselaraskan agar peruntukan RM22 bilion daripada pelbagai kementerian dan agensi dapat disalurkan dengan tepat.
"Kita semua menteri dan ketua jabatan sibuk. Kadang-kadang dia sibuk, menyibukkan dan buat-buat sibuk.
"Jangan tunggu sehingga tiga atau empat bulan. Saya harap dalam kesibukan, kita kenal pasti kampung.
"Kalau boleh balik kampung, balik...Kalau tidak sempat telefon beritahu siap-siap berapa banyak persatuan yang ada dan seorang pegawai boleh selaraskan," katanya.
Terdahulu pada Ahad, Anwar mencadangkan setiap pemimpin dalam negara untuk menjaga satu kampung pilihan masing-masing.
Perkara itu dilihat bagi memastikan sebarang masalah yang dihadapi dalam kampung jagaan masing-masing dapat disalur secara terus kepada platform yang tepat dan berkesan. - Sinar Harian