Menteri Kesihatan sahkan Tok Mat akan dikenakan kompaun kesalahan merokok di restoran
Astro Awani
Disember 18, 2024 10:10 MYT
Disember 18, 2024 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengenakan tindakan terhadap Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan atas kesalahan menghisap rokok di sebuah premis makanan.
Dalam satu ciapan di akaun X peribadinya, Dr Dzulkefly menegaskan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban akan menyerahkan notis kompaun terhadap Ahli Parlimen Rembau itu atas kesalahan melanggar undang-undang.
"Hari ini pegawai diberikuasa dari PKD Seremban akan berjumpa YBM Tok Mat untuk notis kesalahan dan diberikan kompaun. Pejabat YBM telah pun maklum.
"Jujurnya, YBM DS Mohamad Hassan sendiri minta KKM isukan kompaun ke atas kesalahan tersebut dan beliau memberitahu saya, kompaun akan dibayar," katanya.
Ciapan itu kemudian menerima respons orang ramai yang mahu memastikan tindakan diambil terhadap kesemua pihak tanpa mengira status dan latar belakang.
Terdahulu, Dr Dzulkefly dalam satu hantaran di X berkata, KKM berpegang kepada prinsip tiada pihak lebih berkuasa daripada undang-undang.
Peraturan 11 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 menyatakan bahawa sesiapa yang didapati bersalah merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.