Menteri Kesihatan gesa siasatan terperinci kematian doktor pakar di Lahad Datu

Bernama
September 16, 2024 23:56 MYT
Menurut Dzulkefly, beliau sama sekali tidak akan bertoleransi terhadap sebarang perbuatan buli di tempat kerja sejak kali pertama memegang jawatan Menteri Kesihatan pada 2018. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menggesa siasatan terperinci dijalankan berhubung kematian seorang doktor pakar dari Hospital Lahad Datu, Sabah, bulan lepas yang didakwa akibat dibuli di tempat kerja.
Menurutnya beliau sama sekali tidak akan bertoleransi terhadap sebarang perbuatan buli di tempat kerja sejak kali pertama memegang jawatan Menteri Kesihatan pada 2018.
"Saya mempunyai toleransi sifar terhadap buli sejak 2018 dan akan kekal berpegang teguh pada dasar ini (dengan beberapa kes dalam perhatian)," katanya menerusi ciapan di aplikasi X pada Isnin.
"Semua petugas Kementerian Kesihatan (KKM) berhak mendapat persekitaran kerja yang selamat dan adil,"katanya.

Salam Hari Malaysia! * Death of Dr. Tay Tien Yaa must b further investigated.. * I have had a ZERO TOLERANCE towards bullying since 2018 & shall remain steadfast on this policy. (few cases in hand) * All KKM staff deserve a SAFE & JUST working environment.https://t.co/96FtWpgo9L

— Dzulkefly Ahmad (@DrDzul) September 16, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dilaporkan bahawa seorang pakar di hospital tersebut ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu pada 29 Ogos lalu dan kematiannya dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.
Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga menggesa agar siasatan penuh dilakukan berhubung insiden tersebut.
Dalam satu kenyataan, Presidennya Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira menyatakan rasa sedih yang mendalam atas pemergian doktor tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan, dan rakan sekerjanya.
"Kehilangan tragis ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai kesihatan mental dan kesejahteraan para doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam. Kami dengan tegas menggesa KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN) untuk mempercepatkan siasatan yang menyeluruh.
"Kami juga dengan hormat meminta orang awam untuk tidak membuat spekulasi dan memberikan ruang bagi membolehkan proses yang sewajarnya dijalankan," katanya.
MMA menekankan bahawa komuniti perubatan sedang memantau situasi ini dengan teliti dan menggesa agar pihak berkuasa memberikan respons yang cepat dan telus.
Dr Kalwinder mengulangi komitmen MMA untuk meningkatkan kesihatan mental, kebajikan dan keadaan kerja melibatkan semua profesional kesihatan bagi memastikan sokongan persekitaran kerja yang selamat.
Dalam masa sama, beliau menasihati petugas kesihatan yang berdepan masalah dan memerlukan bantuan untuk menghubungi platform Helpdoc MMA melalui helpdoc@mma.org.my.
-- BERNAMA
#kesihatan mental #KKM #petugas kesihatan #Malaysian Medical Association
;