Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof disahkan positif COVID-19

Fareez Azman
Jun 11, 2021 16:21 MYT
Datuk Seri Fadillah Yusof disahkan positif COVID-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal pada Khamis. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof disahkan positif COVID-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal pada Khamis.
Perkara itu dimaklumkan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Jelas kenyataan itu, Fadillah telah menjalani rutin ujian saringan jam 10.15 pagi Khamis sebelum disahkan dijangkiti wabak itu.
“Sebelum ini beliau sentiasa menjalani ujian saringan dari semasa ke semasa dan keputusan adalah negatif termasuk terkini pada 3 Jun 2021.
“Datuk Seri Fadillah kini berada dalam keadaan stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul.
“Beliau juga berdoa agar Allah SWT mempermudah urusan semua yang terlibat,” jelas kenyataan itu.
Fadillah akan menjalani kuarantin di rumah susulan tiada sebarang gejala yang ditunjukkan, seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sepanjang tempoh kuarantin, Datuk Seri Fadillah akan terus memantau dan memastikan urusan kementerian berjalan dengan lancar,” jelas kenyataan itu lagi.
#Menteri Kanan Kerja Raya #Fadillah Yusof #positif COVID-19 #ujian saringan #kuarantin #Kementerian Kesihatan #KKM
;