Mengenang Tun Daim: Menteri Kabinet zahir ucapan takziah

Bernama
November 13, 2024 14:20 MYT
Fahmi berkongsi gambar kenangan beliau dan Daim di platform X dalam ucapan takziahnya.
KUALA LUMPUR: Beberapa menteri Kabinet hari ini menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pagi ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi hantaran di platform X mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah dan sabar dalam berdepan dengan kehilangan ini.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.
Turut sama menzahirkan ucapan takziah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
"Semoga Allah SWT mengampunkan dosa beliau, menempatkan rohnya bersama mereka yang beriman dan menganugerahkan pahala untuk sumbangan beliau," katanya menerusi hantaran di platform X.
Mengenang Tun Daim: 'Allahyarham banyak ilmu perniagaan, galak orang Melayu bersama beliau' - Tun Dr Mahathir
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucapan takziah menerusi hantaran di Facebook turut berharap semoga keluarga Allahyarham diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
Terdahulu keluarga Allahyarham dalam kenyataan memaklumkan Daim meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 8.21 pagi tadi.
Daim sebelum ini memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999-2001.
-- BERNAMA
#Tun Daim Zainuddin #tun daim meninggal dunia #Kerajaan Perpaduan #Fahmi Fadzil
;