Menteri Kabinet zahir penghargaan kepada warga pekerja
Bernama
Mei 1, 2024 13:30 MYT
Mei 1, 2024 13:30 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri-menteri Kabinet menzahirkan penghargaan kepada warga pekerja atas sumbangan mereka kepada negara sempena sambutan Hari Pekerja hari ini menerusi media sosial masing-masing.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengucapkan terima kasih khusus kepada warga kerja sektor pertanian seperti petani, peladang, penternak dan nelayan yang membanting tulang tanpa mengira waktu bagi menyediakan sumber makanan untuk rakyat Malaysia.
"Komitmen yang tinggi daripada mereka selama ini telah membantu memastikan sumber makanan negara sentiasa mencukupi dan berada di tahap terbaik.
"Komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada anda semua adalah kebanggaan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun bagi meraikan sumbangan warga pekerja dengan sambutan tahun ini yang bertemakan 'Pekerja Kesuma Bangsa' berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan pekerja sektor kesihatan sebagai wira dan wirawati negara yang berjuang di barisan hadapan bagi menjaga kesihatan rakyat.
"Di KKM (Kementerian Kesihatan), kita komited untuk melahirkan tenaga kerja kesihatan yang berkualiti dan mencukupi, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.
Dalam pada itu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengajak pekerja untuk bergerak seiring dengan perkembangan teknologi pesat dunia.
"Teknologi yang kita guna pakai 10 hingga 15 tahun dahulu berkemungkinan tidak lagi relevan dengan situasi semasa. Begitu pantasnya perkembangan dunia menjadikan warga pekerja perlu sentiasa menaik taraf kemahiran mereka agar tidak tertinggal di belakang," katanya.
Menteri Digital Gobind Singh Deo pula mengiktiraf mereka yang terlibat dalam usaha pendigitalan negara bagi memastikan Malaysia terus membangun dan mampu berdaya saing di persada antarabangsa.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan sumbangan pekerja cukup besar dalam membangunkan negara, manakala Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang mengajak semua untuk terus menjalankan amanah dan tanggungjawab sebaiknya.
Bagi Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, segala khidmat bakti dan pengorbanan warga pekerja dalam membangunkan negara sangat bernilai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkongsi kepentingan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sesempurna mungkin.
"Semoga ia menjadi asbab rezeki yang berkat. Syukur atas segala nikmat yang dikurniakan. Semoga kita semua terus diberikan kesihatan dan kekuatan untuk melaksanakan kerja untuk agama, negara dan ummah," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pula mengajak semua warga pekerja memperbarui azam untuk meningkatkan produktiviti dan potensi sempena Hari Pekerja.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengajak semua warga kementerian diterajuinya untuk terus bekerja sebagai satu pasukan dan berusaha meningkatkan kualiti demi kelangsungan serta kejayaan pendidikan tinggi negara.
-- BERNAMA