Menteri kabinet ucap Selamat Hari Ponggal
Bernama
Januari 15, 2024 13:49 MYT
Januari 15, 2024 13:49 MYT
KUALA LUMPUR: Anggota Kabinet, melalui hantaran media sosial masing-masing, mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Ponggal kepada masyarakat Tamil di Malaysia hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Facebook berharap pesta menuai itu akan membawa kegembiraan dan kemakmuran.
"Selamat Hari Ponggal! Semoga pesta menuai ini membawa kebahagian yang tidak terhingga, kemakmuran dan kesihatan kepada anda dan orang tersayang. Ponggal Valthukal," katanya.
Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di media sosial pula berharap perayaan Ponggal akan terus membawa kemakmuran, keceriaan dan keharmonian seisi keluarga.
"Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Ponggal kepada semua komuniti Tamil di Malaysia.
"Saya juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat jadikan perayaan ini sebagai antara pemangkin perpaduan negara," katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula mengajak rakyat merayakan sambutan Hari Ponggal dengan semangat yang sihat dan hati yang gembira.
"Kesihatan adalah kekayaan. Kebahagiaan adalah penawar .... Selamat menyambut Hari Ponggal," katanya dalam hantaran melalui Facebook.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berharap perayaan Ponggal memberikan kesejahteraan, keceriaan dan kesihatan yang lebih sempurna untuk semua.
"Masyarakat India khususnya Tamil meraikan perayaan Ponggal bagi menandakan sambutan musim menuai serta sebagai tanda kesyukuran terhadap rezeki yang melimpah-ruah.
"Hari besar penganut Hindu ini turut menjadi simbol dan pemangkin bagi mengangkat perubahan serta mencipta anjakan baharu. Anaivarukkum Iniya Ponggal Nal Valthukkal," katanya dalam hantaran menerusi Facebook.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mendoakan agar sambutan Hari Ponggal tahun ini memberi kemakmuran, kesejahteraan, keceriaan dan kesihatan untuk semua.
Ponggal menandakan permulaan bulan "Thai" dalam kalendar Tamil dan disambut dengan penyediaan nasi manis untuk keluarga dan rakan-rakan sebagai tanda berterima kasih dengan hasil tuaian yang melimpah-ruah.
-- BERNAMA