Menteri JPM diminta perjelas isu perbalahan KPPA dan Imigresen di Dewan Rakyat
Astro Awani
Ogos 4, 2022 16:52 MYT
Ogos 4, 2022 16:52 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri digesa untuk tampil memberi penjelasan di Dewan Rakyat berhubung dakwaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH- Pulai) berkata, penjelasan segera itu perlu supaya isu tersebut tidak menjejaskan nama baik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), khususnya maruah anggota kerajaan.
"Semalam (Rabu) negara dikejutkan dengan satu insiden di KLIA, di mana Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menengking seorang pegawai tinggi Jabatan Imigresen. Saya rasa Parlimen perlu diberi penerangan kerana isu itu telah dilaporkan secara viral dalam media sosial mahupun media arus perdana.
"Sudah ada kenyataan daripada pihak JPA dan dibalas pula oleh kesatuan Imigresen, menyatakan kesal terhadap sikap kasar KPPA dan tidak sepatutnya melakukan perkara itu.
"Ini adalah nama baik JPA. Nama baik pegawai di bawah JPA, yang saya rasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri harus tampil dalam dewan ini untuk memperjelaskan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, perkara itu bukan dilakukan oleh pegawai rendah atau biasa, sebaliknya dilakukan oleh Ketua Pengarah JPA.
"Saya rasa perlu dijelaskan supaya tidak ada yang disalah tafsir, bagi saya nama baik JPA perlu dijaga kerana ia membabitkan satu jabatan dihormati dan paling senior dalam hierarki kerajaan.
Penjelasan itu katanya, perlu bagi mengelak tanggapan salah dan maklumat yang tidak tepat terus dihebahkan kepada orang ramai.