Menteri jadi promoter pas perjalanan tanpa had

Astro Awani
Januari 14, 2019 07:30 MYT
Loke berkata pihaknya mensasarkan 200,000 penumpang melanggan pas perjalanan tanpa had RapidKL tersebut setiap bulan. - Gambar fail
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menarik perhatian umum apabila turut turun padang mempromosikan Pas Perjalanan Tanpa Had My100 kepada pengguna MRT dan LRT.
Pada pagi Selasa minggu lalu, beliau menaiki MRT di Stesen Kajang dan mula mengedarkan risalah serta bertegur sapa dengan para penumpang MRT.
"You ada pakai ini Mypass ke?" tanyanya kepada salah seorang penumpang sambil menghulurkan risalah tentang pas tanpa had itu.
Beliau seterusnya menerangkan kepada penumpang itu di mana pas tanpa had itu boleh diperolehi.
Loke turut berbual dengan penumpang MRT dan mendengar maklum balas mereka sebelum turun di Stesen Pasar Seni dan menukar perjalanannya menaiki LRT ke Bangsar bagi menghadiri mesyuarat di Pejabat Prasarana.
Beliau kemudiannya mengadakan sidang media tentang pas tanpa had itu dan berkata, pihaknya mensasarkan 200,000 penumpang melanggan pas tersebut setiap bulan.
BACA: Rakyat jimat RM1,200 setahun dengan pas tanpa had Prasarana
Video Loke turun padang mempromosikan penggunaan kad tersebut dikongsikan di Facebooknya baru-baru ini.
Video tersebut setakat ini mendapat 461,000 tontonan, lebih 4,000 perkongsian dan 7,900 Likes.
Pas bulanan perjalanan tanpa had RapidKL itu diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 yang lepas.
BACA: Pas Tanpa Had My50 diperluas ke Pulau Pinang
Pelancarannya dilakukan pada Disember 2018.
#Anthony Loke #Belanjawan 2019 #Malaysia #Menteri Pengangkutan #MY100 #pas bulanan #pas perjalanan #prasarana #RapidKL
;