Menteri ingkar kuarantin: Pegawai atasan KKM tidak dimaklumkan - KP Kesihatan

Bernama
Ogos 25, 2020 16:22 MYT
Dr Noor Hisham berkata mereka hanya mengetahui tentang perkara itu pada minggu lepas menerusi laporan media. - Gambar fail/BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menjelaskan pegawai atasan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak dimaklumkan mengenai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengingkari perintah kuarantin di rumah.
Dr Noor Hisham berkata mereka hanya mengetahui tentang perkara itu pada minggu lepas menerusi laporan media dan hanya semalam beliau menerima laporan penuh berhubung perkara itu daripada pihak penyiasatan dalaman KKM.
"Hanya semalam saya dapat laporan penuh daripada pihak penyiasatan dalaman, laporan penuh apa yang berlaku dan kami tidak dimaklumkan. Jadi amat penting bagi petugas barisan hadapan kami, apa pun yang berlaku di luar sana, untuk memaklumkan kepada kami atau pegawai atasan supaya tindakan boleh diambil secepat mungkin.
"Jadi apa yang kami lakukan adalah kami mula melakukan penyiasatan kerana KP (Ketua Pengarah), timbalan KP dan juga ketua jabatan penyakit berjangkit tidak dimaklumkan. Sebab itu kenapa kami mengarahkan penyiasatan dalaman dilakukan," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata kes itu kini di bawah penyiasatan polis.
"Penyiasatan dalaman telah dijalankan dan saya telah melihat laporan itu dan laporan itu telah diserahkan kepada polis. Jadi, kami serahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan perlu," katanya.
Mohd Khairuddin dikatakan mengingkari perintah kuarantin di rumah dengan menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai.
Beliau dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai dan menjalani ujian pengambilan sampel nasopharyngeal pada hari yang sama dan didapati negatif COVID-19. Ujian kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa menteri itu tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari lawatan ke Turki.
Berikutan itu, Mohd Khairuddin, yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, dikritik banyak pihak kerana menteri sendiri tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa, dengan mengingkari perintah kuarantin untuk rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara.
Susulan itu, Mohd Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].
Beliau telah memohon maaf dan menyumbangkan empat bulan gajinya sebagai menteri, dari Mei hingga Ogos, kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) di bawah KKM.
-- BERNAMA
#Dr Noor Hisham Abdullah #ingkar kuarantin #Kementerian Kesihatan #Ketua Pengarah Kesihatan #KKM #Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi #Mohd Khairuddin Aman Razali #pegawai atasan #perintah kuarantin