Menteri Indonesia bincang isu pekerja migran dengan rakan sejawat dari Malaysia
Bernama
April 28, 2024 05:40 MYT
April 28, 2024 05:40 MYT
JAKARTA: Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Steven Sim Chee Keong pada Ahad untuk membincangkan kerjasama tenaga kerja dua hala dan isu berkaitan pekerja migran Indonesia, lapor Agensi Berita Antara.
Dalam kenyataan kementerian itu, Fauziyah berharap Steven yang baru dilantik sebagai menteri di Malaysia akan membawa penambahbaikan kepada dasar berkaitan tenaga kerja di negaranya, iaitu peningkatan dalam kebajikan dan perlindungan pekerja migran Indonesia.
"Saya percaya dengan sokongan Menteri Sim Chee Keong, kerjasama dalam tenaga kerja yang dijalin antara kerajaan Indonesia dan Malaysia akan membuahkan hasil yang lebih positif,” katanya semasa perjumpaan yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia.
Semasa perjumpaan yang diadakan di luar lawatan Fauziyah ke Malaysia, kedua-dua menteri itu menyentuh isu sebenar berkaitan perlindungan dan penempatan pekerja migran Indonesia.
Tambahan pula, Fauziyah dan Steven juga telah bersetuju untuk memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai perlindungan dan penempatan pekerja Indonesia dalam sektor rasmi dimeterai dua dekad lepas.
Kedua-dua menteri berkongsi pandangan bahawa terdapat keperluan untuk menyemak semula beberapa perkara yang ditekankan dalam MoU itu untuk diselaraskan dengan perkembangan dan keadaan semasa.
"Kami gembira kerana berpeluang berjumpa dan bertukar pandangan mengenai kerjasama bilateral antara Malaysia dan Indonesia dalam perlindungan dan penempatan pekerja migran Indonesia,” katanya.
Pada Sabtu lepas, Fauziyah menyertai pelancaran Bolehpayz, sebuah aplikasi pembayaran digital yang dijangka melindungi pekerja Indonesia di Malaysia daripada pembayaran gaji yang lambat dan pemotongan berlebihan dalam pembayaran gaji.
"Aplikasi ini dijangka menyediakan satu lagi penyelesaian kepada transaksi kewangan,” katanya lagi di Malaysia.
- Bernama- Antara