Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi lawat Malaysia bermula esok

Bernama
Ogos 25, 2024 21:34 MYT
Semasa lawatan itu, Dr. Tawfiq dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Anwar dan Mohd Na'im serta beberapa menteri, pegawai kanan dan pegawai hal ehwal umrah di Malaysia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah akan mengadakan lawatan ke Malaysia dari 26 hingga 28 Ogos untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan semasa lawatan itu, Dr. Tawfiq dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar serta beberapa menteri, pegawai kanan dan pegawai hal ehwal umrah di Malaysia.
Lawatan itu antara lain akan memberikan tumpuan kepada memperbaik dan menambah baik pengalaman jemaah Malaysia ketika menunaikan umrah.
Menurut kenyataan itu, antara topik yang bakal dibincangkan dalam pertemuan itu ialah kaedah untuk mempermudah prosedur visa, menambah baik aspek sokongan logistik selain meneroka aturan bagi menyesuaikan perkhidmatan agar memenuhi keperluan jemaah termasuk dari segi bahasa dan budaya.
Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama membangunkan program latihan untuk pengendali umrah dari Malaysia bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
Semasa lawatan berkenaan, Dr. Tawfiq juga dijangka membincangkan mengenai kesalihubungan udara di antara bandar utama di Arab Saudi dan Malaysia untuk memudahkan perjalanan para jemaah.
"Lawatan itu menekankan persahabatan erat antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia selain menyerlahkan komitmen Arab Saudi untuk mengukuhkan hubungan erat dengan negara-negara rakan dari dunia Islam.
"Kunjungan itu juga menjadi mercu tanda dalam memperkukuh perkongsian dan pertukaran idea serta pengalaman antara kedua-dua negara dalam urusan umrah. Selain itu, lawatan berkenaan turut menggambarkan hubungan erat antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia yang melangkaui urusan agama, termasuk kerjasama ekonomi, budaya, sosial, dan pendidikan," menurut kenyataan itu.
Lawatan Al-Rabiah ke Malaysia sebahagian daripada inisiatif strategik yang diusahakan Kementerian Haji dan Umrah.
Inisiatif itu bertujuan memenuhi pelbagai keperluan jemaah di seluruh dunia, bertukar-tukar amalan terbaik dalam pengurusan umrah serta memanfaatkan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan dan kemudahan menunaikan umrah.
Kunjungan itu juga bertujuan mempertingkatkan kerjasama antarabangsa dalam memperbaik perkhidmatan umrah dan mempromosikan pertukaran budaya serta meningkatkan pemahaman antara negara-negara Islam.
"Inisiatif itu selaras dengan Visi 2030 Arab Saudi yang menekankan peranan sebagai pusat dunia Islam, memperkukuh hubungan rapat dengan negara-negara Islam, dan mengulangi komitmen berterusan untuk menyokong komuniti Islam global," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Hubungan dua hala