Menteri dedah ada pengusaha stesen minyak diugut penyeludup diesel

Ridauddin Daud
Julai 26, 2024 11:34 MYT
Dedah Armizan, selain pengusaha, kementeriannya mendapati ada juga penguatkuasa yang berdepan perkara sama. - Gambar fail/Astro AWANI
SHAH ALAM : Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mendedahkan ada pengusaha syarikat minyak diugut kerana tidak membenarkan pihak yang disyaki menyeludup diesel mengisi minyak di premis mereka.

Ringkasan AI
  • Ugutan Terhadap Pengusaha Stesen Minyak: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, mendedahkan bahawa terdapat pengusaha stesen minyak yang menerima ugutan daripada sindiket penyeludupan supaya terus menjual diesel bersubsidi kepada mereka. Beberapa stesen minyak di sempadan negara dan bandar-bandar turut menghadapi ugutan serupa.
  • Kes Pegawai Baharu: Dalam siasatan, terdapat pegawai baharu yang terlibat dalam ketirisan diesel. Walaupun enggan terlibat, dia terpaksa akur kerana sudah termasuk dalam ekosistem berkenaan. Siasatan menunjukkan bahawa ketidakkerjasama pegawai ini mengakibatkan ugutan dan keterlibatan dalam jenayah.
  • Pengurusan Risiko: Selain penguatkuasaan, penting untuk memberi perhatian kepada pengurusan risiko agar pelarasan subsidi diesel mencapai objektifnya.

Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian mengesan perkara itu menerusi sesi pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, antara stesen minyak yang mendapat ugutan adalah premis yang berada di sempadan negara dan juga di bandar-bandar.
"Termasuklah stesen-stesen minyak kita, khususnya di kawasan sempadan dan juga di kawasan bandar.
"Ada juga yang menerima ugutan daripada pihak tertentu, sekiranya mereka tidak membenarkan…sebab kadangkala mereka tengok pembelian berulang.
"Bila stesen minyak cuba menghalang, mereka mendapat ugutan, ancaman kepada premis dan perniagaan mereka yang akhirnya mereka mengambil keputusan untuk berdiam sahaja dan tidak melaporkan.
"Ini juga kes yang berlaku. Jadi, perlu kita urus risiko itu," katanya dalam program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian di Shah Alam pada Jumaat.
Menurutnya, selain pengusaha, kementeriannya mendapati ada juga penguatkuasa yang berdepan perkara sama.
Mengambil satu contoh yang masih dalam siasatan, beliau berkata terdapat pegawai baharu yang terlibat dalam ketirisan diesel, mendakwa dia enggan terlibat namun terpaksa kerana sudah termasuk dalam ekosistem berkenaan.
Jelas Armizan, siasatan mendapati sekiranya pegawai itu tidak memberikan kerjasama, dia akan diugut dan akhirnya terpaksa akur, sekali gus terlibat dalam jenayah berkenaan.
Justeru, tegas Armizan, selain penguatkuasaan, pengurusan risiko sebegitu juga perlu diberi perhatian agar pelarasan subsidi diesel itu berjaya mencapai objektifnya.
#Armizan Mohd Ali #diesel #subsidi #ugutan #stesen minyak