Menteri Besar Selangor minta maaf

Farhana Joni
September 7, 2020 15:22 MYT
Amirudin Shari mohon maaf mengenai gambar lori tangki air ke rumahnya tular di akaun media sosial isterinya. - Gambar BERNAMA
Selepas isterinya memohon maaf dan mengakui kesilapannya, kali ini Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari pula mengambil tanggungjawab yang serupa.
Menurut Amirudin, penularan gambar lori tangki air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) 'menghantar' air ke rumahnya yang dimuat naik di akaun media sosial isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad menjadi modal untuk pihak tertentu 'menyerangnya'.
"Gambar ini telah digunakan oleh sesetengah pihak untuk menyerang saya, bagaimanapun saya dan isteri memohon maaf," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu dalam satu majlis rasmi di sini.
Memetik laporan Bernama, Amirudin menjelaskan, gambar lori tangki Air Selangor itu dimuat naik oleh isterinya, Datin Seri Masdiana Muhammad itu bagi menzahirkan rasa terima kasih kepada agensi itu yang yang membantu menghantar air ke kediamannya.
BACA: Isteri MB Selangor minta maaf, lori Air Selangor bukan untuk kolam renang
Masdiana baru-baru ini dikecam susulan memuat naik beberapa keping gambar di kediaman rasmi Menteri Besar yang memperlihatkan kolam renang dan lori tangki air sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
Hantaran yang dimuat naik dalam akaun media sosial Instagram miliknya itu bagaimanapun telah dipadam dan akaunnya pula dikesan tidak lagi aktif.
Bagaimanapun, pada Ahad, Masdiana tampil memohon maaf secara terbuka selepas tindakannya memuat naik beberapa keping gambar di media sosialnya berhubung isu air menimbulkan pelbagai reaksi negatif banyak pihak.
Masdiana dalam masa sama, turut menafikan dakwaan kononnya lori tangki air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd yang ada di kediamannya itu untuk memenuhkan kolam renang.
#ADUN Sungai Tua #air #Datin Seri Masdiana Muhammad #Datuk Seri Amirudin Shari #Kolam renang #Menteri Besar Selangor #Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd
;