Menteri Besar Perak negatif COVID-19
Abd Razak Mohd Ali
April 30, 2021 18:06 MYT
April 30, 2021 18:06 MYT
IPOH: Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad disahkan negatif COVID-19 selepas menerima keputusan ujian saringan pengesanan virus tersebut hari ini.
Keputusan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kinta pada pukul 4.30 petang.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak, Saarani melakukan ujian saringan berkenaan pukul 2.30 petang Khamis di Pusat Penilaian COVID-19, Arena Tenis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Sekalipun ujian saringan mendapati beliau negatif, namun, Saarani akan terus menjalani kuarantin sehingga 3 Mei ini seperti dijadualkan dalam Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Saarani telah menjalani proses kuarantin selama 11 hari setelah dikesan sebagai kontak rapat kepada individu yang disahkan positif COVID-19.
Beliau menjadi antara kontak rapat dengan individu berkenaan ketika menghadiri sebuah program di Lenggong, Perak pada 23 April lalu.