Menteri Besar Perak, isteri rai sambutan Hari Polis ke 216 peringkat negeri
Abd Razak Mohd Ali
Mac 20, 2023 12:31 MYT
Mac 20, 2023 12:31 MYT
IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin meraikan sambutan Hari Polis ke 216 peringkat negeri di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini, hari ini.
Ketibaan mereka kira-kira jam 8.15 pagi di sambut Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan isteri, Datin Wanita Wari serta pegawai-pegawai kanan polis Perak.
Turut hadir beberapa anggota Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Sebaik tiba di Dataran Kawad, Menteri Besar memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 53 anggota dan pegawai dari Pasukan Simpanan Persekutuan yang diketuai Superintendan Mohd Faizal Fauzi.
Pelbagai aktiviti disediakan pada sambutan peringkat negeri kali ini, antaranya lafaz ikrar taat setia yang diketuai Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi, deklamasi sajak, persembahan t-baton, silat, sketsa samun dan tarian perang.
Selain itu, turut disampaikan perutusan Ketua Polis Negara sempena sambutan tahun ini yang dibacakan Timbalan Ketua Polis Perak.
Selesai acara di Dataran Kawad, majlis diteruskan dengan acara di dalam dewan besar kem berkenaan.
Kemuncak sambutan ialah penyampaian surat penghargaan kepada pegawai dan anggota polis di samping sijil penghargaan kepada media.