Menteri Besar Pahang dijangka angkat sumpah Sabtu

Nuradilla Noorazam
Mei 10, 2018 17:01 MYT
Datuk Seri Adnan Yaakob yang telah memegang jawatan Menteri Besar Pahang selama tiga penggal akan kembali meneruskan pentadbirannya di negeri itu.
Berikutan kemenangan 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan kerajaan negeri dalam masa terdekat apabila Menteri Besar dijangka mengangkat sumpah di Istana Abu Bakar, Pekan, pada Sabtu.
Istiadat itu dijangka dirasmikan di hadapan Pemangku Raja Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah setelah pelantikan tersebut mencapai persetujuan pihak istana.
Pengerusi UMNO dan BN Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang telah memegang jawatan Menteri Besar Pahang selama tiga penggal akan kembali meneruskan pentadbirannya di negeri itu.
Adnan yang ditemui di pekarangan rumahnya di Bentong berkata proses pelantikan Exco kerajaan negeri pula akan dilakukan minggu depan setelah Mentari Besar selesai mengangkat sumpah.
“Sebagai Pengerusi UMNO dan BN, saya telah menerima keputusan pilihan raya ini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap pengundi yang telah memilih kami sehingga berjaya mendapat majoriti mudah sebanyak 25 kerusi.
“Kita bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pengundi. Pelantikan Menteri Besar Pahang akan ditentukan oleh Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Tengku Abdullah Ahmad Shah pada esok.
“Terpulang kepala istana untuk memilih calon yang sesuai,” katanya.
Mengakui bahawa kekalahan BN dan UMNO di beberapa negeri lain sebagai mengejutkan, Adnan berkata beliau akan duduk berbincang bersama pemimpin negeri untuk menilai kembali prestasi mereka sepanjang pilihan raya ini.
“Kami akan membuat ‘post-mortem’ untuk melihat apa yang kami boleh lakukan untuk mempertingkatkan perkhidmatan kami dan strategi menghadapi PRU akan datang.
“Saya lihat dalam aspek pentadbiran, beberapa aspek kehidupan rakyat akan dipertingkatkan lagi. Ini adalah fahaman saya berdasarkan pemerhatian sepanjang musim kempen ini. Saya melihat masih ramai orang-orang miskin daif di Pahang, ibu-ibu tunggal dan mereka yang terlantar sakit.
“Untuk pentadbiran akan datang ini, kami akan turut melihat isu kebajikan Orang Asli dan masyarakat India yang memerlukan bantuan kerajaan negeri,” katanya.
Jelas Adnan, isu perumahan turut menjadi antara kegusaran utama rakyat di negeri tersebut terutamanya mengenai isu membayar pinjaman.
“Perumahan adalar masalah yang agak besar terutamanya dari segi pembayaran pinjaman jadi kami harap kerajaan persekutuan dapat menyokong usaha kami dalam hal ini.
“Kami akan teruskan penekanan dalam bidang pendidikan dengan merancakkan bantuan Yayasan Pahang yang menjalankan peranan penting dalam pendidikan. Juga Maahad Tahfiz yang telah menunjukkan prestasi membanggakan dari segi akademik dan hafazan Al-Quran.
Pahang, selain Perlis, merupakan satu-satunya negeri yang dimenangi BN dengan selesa sehingga boleh menubuhkan kerajaan negeri.
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam menyaksikan BN memenangi 9 kerusi parlimen, termasuk Kuantan, Indera Mahkota, Temerloh, Raub dan Bentong, dan 25 kerusi negeri, sementara Pakatan Harapan memenangi 5 kerusi parlimen dan 9 kerusi negeri, Pas pula memenangi 8 kerusi negeri dari semua yang dipertandingkan.
PKR memenangi dun Semambu, Tras, Sarai, Ketari, Bilut, Teruntum, Triang, Mentakab, Tanah Rata. Manakala Pas memenangi kerusi dun Damak, Tahan, Beserah, Panching, Luit, Chenor, Jengka dan Tanjung Lumpur.
#Adnan Yaakob #BN #GE14 #MB Pahang #Pahang #PH #Pilihan Malaysia #PKR #PRU14 #UMNO
;