Menteri Besar Kedah wajar utamakan rakyat hadapi ujian banjir - Dr Taufiq

Bernama
September 21, 2024 18:03 MYT
Dr Taufiq berkata tidak menjadi satu keperluan yang mendesak buat masa ini bagi Muhammad Sanusi menyertai lawatan kerja untuk mempelajari model berkenaan projek yang akan dibina sepenuhnya Kerajaan Persekutuan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sewajarnya meletakkan keutamaan lebih tinggi untuk bersama-sama rakyat negeri itu yang sedang menghadapi ujian banjir, kata Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata jumlah mangsa banjir di Kedah mencatatkan peningkatan kepada 7,469 orang setakat pagi tadi, dengan rakyat di negeri itu masih menunggu pelan mitigasi banjir oleh kerajaan negeri bagi membantu gerak kerja agensi sedia ada di peringkat Persekutuan.
Dr Taufiq berkata tidak menjadi satu keperluan yang mendesak buat masa ini bagi Muhammad Sanusi menyertai lawatan kerja untuk mempelajari model berkenaan projek yang akan dibina sepenuhnya Kerajaan Persekutuan.
"Saya merujuk kepada satu kenyataan terkait keberadaan Menteri Besar Kedah di Jepun untuk mempelajari pengurusan operasi takungan air bawah tanah.
"Bagaimanapun, Projek Pembinaan Empangan Bawah Tanah di Pulau Langkawi adalah projek penuh Kerajaan Persekutuan melalui Bahagian Bekalan Air (BBA) sebagai pelaksana.
"Penilaian teknikal juga akan diuruskan oleh agensi ini yang kini sudah pun di peringkat prapelaksanaan. Beliau juga janganlah bertindak lebih sudu dari kuah, tatkala belum ada lawatan seperti ini oleh Menteri di Persekutuan walaupun beban pelaksanaan projek ini adalah di bahunya," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turun padang meninjau tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Alor Setar, Kedah.
Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM13 juta untuk bantuan pascabanjir di Kedah melibatkan sumbangan, pembersihan serta baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir.
-- BERNAMA
#bekalan air #mangsa banjir #mati lemas #PPS
;