Menteri bercuti ketika bencana: Nak jaga hati 'orang rumah' lebih daripada nak jaga rakyat
Harits Asyraf Hasnan
Januari 20, 2022 17:37 MYT
Januari 20, 2022 17:37 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berpandangan agihan tugas perlu dibuat dengan strategik sekiranya menteri sedang bercuti sewaktu bencana berlaku.
Tegasnya, jentera kerajaan perlu berjalan dengan lancar menerusi arahan dari semasa ke semasa yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha kementerian.
"Soalnya, kalau menteri tak ada (dalam negara) atau ada urusan, kita boleh maafkan...kita faham, terutama semasa hujung tahun, selalunya hujung tahun semua nak habiskan cuti.
"Saya dahulu kerja dengan kerajaan, timbalan menteri atau pengerusi GLC, saya tak pernah ambil cuti pun.
"Sekarang ini, sikit-sikit nak cuti, kalau dia (menteri) tak mahu cuti, 'orang rumah' (isteri) pula ajak cuti, ini masalahnya apabila hendak jaga hati 'orang rumah' lebih daripada nak jaga rakyat.
"Lepas itu, 'orang rumah' pula bukan satu, tetapi dua, tiga. Ini yang masalah ni. Jadi kalau keadaan begitu, pandai-pandailah menteri agihkan tugas itu kepada kepada orang bawah. Timbalan menteri pun bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu banjir pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, pegawai-pegawai kerajaan seperti ketua atau timbalan ketua setiausaha, pengarah atau setiausaha bahagian patut berperanan sewajarnya semasa ketiadaan menteri.
"Ini apabila menteri cuti, KSU cuti, TKSU cuti, semua cuti. Orang ramai ini yang ada ada urusan apa-apa tergendala.
"Kalau cuti, jentera kerajaan perlu terus berjalan, agiihkan tugas kepada pegawai-pegawai lain," katanya lagi.