Menteri Amanah tak perlu takut tegur projek kereta nasional - Perwakilan

Firdaus Azil
Disember 15, 2018 15:58 MYT
Presiden Amanah Mohamad Sabu (dua, kanan) menerima jersi Akhbar Amanah selepas menyempurnakan pelancaran akhbar tersebut sempena Konvensyen Nasional Amanah 2018 hari ini. Turut hadir, Khalid (dua, kiri), Pengarah Komunikasi Amanah. --fotoBERNAMA
Pucuk pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) yang terpilih menganggotai jemaah menteri perlu lebih berani menyuarakan pandangan akar umbi parti sekiranya sesuatu dasar kerajaan itu dilihat lebih ke arah membebankan.
Perwakilan Pemuda Nasional Amanah Nik Abd Razak Nik Md Ridzuan mendakwa, sudah kerap kali keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak menepati aspirasi rakyat.
Akibatnya, katanya ketika membahas usul ekonomi di Konvensyen Tahunan Amanah di Ipoh, hari ini, kerajaan terus menjadi cemuhan.
Beliau mengambil isu skim bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan projek kereta nasional ketiga sebagai contoh.
“Katanya, hutang kita RM1.3 trilion, tetapi pada masa sama, perdana menteri umum kerajaan PH akan melancarkan kereta nasional ketiga.
"Kita tahu, walaupun (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng cakap, jika ia dilaksanakan, ia akan jadi satu private investment, tetapi, kerajaan juga kata, a large sum of money will be channeled by the government.
"Kita tahu, R&D (penyelidikan dan pembangunan) dalam industri automobil bukan (memakan) ratusan ribu, tetapi bilion ringgit,” katanya.
Nik Abd Razak berpendapat, idea itu hampir "tidak dapat dipertahankan," tetapi, beliau kesal kerana tiada seorang pun dalam kalangan pucuk pimpinan Amanah, terutamanya menteri Kabinet, yang berani menegur.
“Menteri seperti Khalid Abdul Samad, Dr Mujahid Yusof dan yang lain-lain harus bawa isu ini dalam Kabinet dan cabar idea ini.
"Jangan kita play safe supaya kita tak hilang jawatan menteri. Ia (kereta nasional) adalah obsesi (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi kita diam diri,” katanya lagi.
Mengenai PTPTN, Nik Abd Razak berkata, sekiranya kementerian tidak mahu membuat proses pendengaran awam, Pemuda Amanah sendiri sedia memikul tanggungjawab itu.
"Hakikat Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) tarik semula idea ini, perlukan enam bulan untuk revisit, membuktikan bahawa polisi ini tidak melalui satu proses pendengaran awam.
"Pemuda Amanah ingin sebut dengan tegas, jika Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan, Maszlee, keberatan untuk turun, tanya orang muda tentang penyelesaian bagaimana.
"Biar Pemuda Amanah yang pusing Malaysia untuk mendengar apa anak muda inginkan dan bagaimana caranya untuk jelaskan hutang," katanya lagi.
#Amanah #ekonomi #Konvensyen Amanah #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Malaysia #Maszlee Malik #menteri #Pakatan Harapan #pendidikan #Perdana Menteri #PTPTN #ringgit #Wan Saiful Wan Jan
;