Menteri, ahli politik ucap takziah atas kematian Shinzo Abe

Bernama
Julai 8, 2022 04:00 MYT
Menteri dan ahli politik menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Shinzo Abe dan rakyat Jepun atas pemergian bekas perdana menteri itu, yang dibunuh pada Jumaat.
KUALA LUMPUR: Menteri dan ahli politik menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Shinzo Abe dan rakyat Jepun atas pemergian bekas perdana menteri itu, yang dibunuh pada Jumaat.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia merupakan satu kehilangan yang menyedihkan dan tidak boleh ditukar ganti.
"Sebagai perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, memperjuangkan pembaharuan ekonomi, beliau sememangnya seorang tokoh yang disanjung tinggi di pentas global, seorang pemimpin yang sangat berjaya yang akan memberi impak berkekalan terhadap senario geopolitik khususnya di rantau Asia Pasifik," katanya dalam akaun Twitternya semalam.
Mohamed Azmin juga mengimbau kembali pertemuan mereka pada awal tahun ini iaitu beliau dan Abe membincangkan untuk meneruskan perkongsian ekonomi Malaysia-Jepun dan hubungan dua hala, terutamanya melalui Dasar Pandang ke Timur dan Ekspo Osaka Kansai yang akan datang.
"Tuan Yang Terutama dan saya mengulangi komitmen kami untuk perkongsian perdagangan kedua-dua negara yang kukuh dan signifikan, Jepun sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia," katanya.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hantaran di Facebooknya berkata pandangan komprehensif Abe mengenai ekonomi, perniagaan dan perdagangan sangat mengagumkan dan pandangannya mengenai pelbagai sektor benar-benar luar biasa.
"Penglibatan berterusan kami selama bertahun-tahun membawa kepada pelbagai peluang bukan sahaja dari segi pelaburan dan pekerjaan, tetapi juga berpotensi menjadi pemangkin, projek moden dan maju dalam infrastruktur seperti Rel Berkelajuan Tinggi," katanya.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata adalah sangat menyedihkan apabila tindakan ganas seperti itu boleh berlaku di negara yang sentiasa berusaha mencapai matlamat keamanan.
"Mengambil nyawa seorang daripada penyokong kuat Asia sukar untuk difikirkan, satu tragedi yang saya kecam kerana saya mengecam semua tindakan keganasan politik. Gelombang kebencian dan keganasan ideologi yang semakin meningkat yang disaksikan di seluruh dunia adalah fenomena yang mesti kita lawan sebagai komuniti global," kata Anwar dalam hantaran di Facebooknya.
Abe, 67, ditembak dari belakang ketika menyampaikan ucapan pada kempen politik di bandar Nara. Penyerangnya telah ditangkap.
Jepun akan mengadakan pilihan raya Senat pada Ahad ini dan Abe berkempen untuk calon Parti Liberal Demokratik yang memerintah.
-- BERNAMA
#menteri #Shinzo Abe #takziah #ditembak
;