Menteri Agama ke Arab Saudi 18 Mac bincang urusan haji Malaysia

Mohd Zalani Md Atan
Mac 6, 2022 11:06 MYT
Idris memaklumkan beliau telah menerima surat jemputan daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah untuk berbincang mengenainya. - Gambar fail
KUANTAN: Sebarang keputusan berhubung kebenaran ibadah haji termasuk prosedur operasi standard (SOP) akan dimaklumkan selepas perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata beliau akan ke Arab Saudi pada 18 Mac ini dan semua butiran lanjut mengenai ibadah haji akan dimaklumkan selepas itu.
Tambah Idris, minggu lepas beliau telah menerima surat jemputan daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah untuk berbincang mengenainya.
“Saya akan adakan mesyuarat. Baru sahaja dapat surat daripada Menteri Haji dan Umrah (Arab Saudi) untuk membincangkan berkenaan dengannya. Arab Saudi panggil semua negara, kebetulan Menteri Haji baru bertukar, dia baharu, maka saya akan ke sana. 18 haribulan (Mac) saya akan ke sana,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai vaksin melibatkan pelajar tahfiz, Idris mengingatkan kepada ibu bapa yang belum mendaftar anak mereka supaya mendaftar segera sebagai langkah pelindungan daripada terkena jangkitan.
Ini kerana katanya pelajar akan bergaul sesama sendiri dan penting bagi mereka untuk mendapatkan vaksin.
Beliau ditemui pemberita selepas selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Fikri di sini harı ini.
Sembilan pelajar menerima sijil penghargaan masing-masing selepas berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran.
#Arab Saudi #Haji #Idris Ahmad #umrah