Menteri Agama Islamkan tujuh saudara baharu
Sinar Harian
Mei 10, 2023 08:15 MYT
Mei 10, 2023 08:15 MYT
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan sentiasa memberikan bantuan dan bimbingan kepada mualaf melalui agihan zakat dan pelbagai program.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kelas pengajian agama secara percuma juga disediakan bagi tempoh pengajian satu tahun enam bulan di Kompleks Darul Hidayah, institusi di bawah Jawi.
“Agensi Islam akan terus memperkasa pengurusan saudara baharu,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Dalam hantaran itu, beliau turut berkongsi diundang oleh Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Mohamad Suhami Abd Aziz untuk memimpin syahadah kepada tujuh orang saudara baharu yang memeluk Islam di Masjid Negara.
“Alhamdulillah, telah dikurniakan nikmat iman dan Islam. Seperti kain putih yang membalut badan. Bersih dari segala dosa dan kotoran. Bercampur hiba dan gembira, saat berpeluk erat dan bersalaman,” ujarnya.
Mohd Na'im turut berpesan supaya mereka terus mempelajari ilmu-ilmu fardu ain kerana ilmu menjadi pasak amalan.
“Belajarlah secara bertahap-tahap dan perlahan-perlahan. Pasti Allah akan mempermudahkan segala urusan.
“Pada masa sama, saya menasihatkan supaya terus berbakti kepada ibu bapa dan ahli keluarga walau berbeza agama. Islam tidak pernah memutuskan silaturahim. Biarlah kita menjadi contoh dan tauladan yang baik,” katanya. - Sinar Harian