Menteri agama ajak pendakwah selebriti bersatu sokong guna vaksin COVID-19
Fauzi Suhaimi
Disember 24, 2020 15:57 MYT
Disember 24, 2020 15:57 MYT
SEPANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mengajak semua pihak khususnya pendakwah selebriti agar bersatu hati dan senada dengan keputusan kerajaan yang meletakkan hukum harus dan wajib dalam pengambilan vaksin COVID-19.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai hasil daripada pandangan para ulama, pihak berkuasa agama di seluruh dunia.
“Pandangan ini (vaksin COVID-19) bukan pandangan saya, tetapi pandangan para ulama dan badan berkuasa agama bukan sahaja di Malaysia, malah dirujuk kepada ummah secara keseluruhan seperti institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif menerusi Hai’ah Kibar ‘Ulama al-Azhar di Arab Saudi yang semuanya setuju ke arah itu.
“Jadi alangkah baik kalau kita semua termasuk pendakwah selebriti senada dengan badan yang amat berkuasa yang telah buat kajian demi kajian dan cukup (untuk) kita kata halus serta mendalam,” katanya ketika kepada wartawan selepas merasmikan majlis Tauaiyah Menteri Bersama Pendakwah Selebriti, di sini pada Khamis.
Yang turut hadir timbalannya, Ahmad Marzuk Shaary dan 100 pendakwah selebriti.
Zulkifli dalam satu kenyataan semalam berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 3 Disember lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, ketetapan itu juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.
#COVID-19
#vaksin COVID-19
#pendakwah selebriti
#bersatu hati
#hukum harus
#Wajib
#Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri
#jawatankuasa muzakarah
#Majlis Raja-Raja