Mentaliti ‘silo’, birokrasi dan perasaan ‘superior’ cabaran utama penjawat awam - KSN

Ridauddin Daud
September 10, 2024 18:25 MYT
Shamsul Azri juga memberi komitmen untuk terus melakukan lawatan mengejut ke banyak kaunter perkhidmatan awam selepas ini.
PUTRAJAYA : Mentaliti 'silo', birokrasi yang masih kuat dalam sesetengah agensi dan perasaan ‘superior’ merupakan antara cabaran utama yang perlu ditangani dalam kalangan penjawat awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tiga perkara itu sudah semakin menebal dalam kalangan penjawat awam dan perlu diatasi segera.
Tegasnya, sikap berasakan kuasa mutlak adalah milik sesetengah agensi perlu dihakis kerana kelulusan projek pembangunan perlu melibatkan semua kementerian dan agensi.
“Betul, masing-masing ada fungsi dan peranannya.
“Namun, sewajarnya itu bukan alasan untuk kita mengambil masa yang lama dan panjang untuk memproses satu-satu projek sehingga menjadi asbab projek tersebut tidak dapat disiapkan ikut tempoh yang dirancang.
“Akhirnya, ekspektasi pemegang taruh dan pelanggan tidak dapat dipenuhi. Bagi ‘private sector’ dan pelanggan kita, ‘time is cost’.
“Setiap masa yang kita lewatkan sama ada sengaja atau tidak, adalah beban kos yang perlu ditanggung oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 di Putrajaya pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau juga memberi komitmen untuk terus melakukan lawatan mengejut ke banyak kaunter perkhidmatan awam selepas ini.
Tegasnya, Malaysia bercakap berkaitan teknologi yang meningkatkan kecepatan perkhidmatan namun masih ada rungutan daripada rakyat seperti: “Kerajaan ini lambat, Kerajaan ini tak prihatin, kaunter ada sepuluh, yang buka hanya satu.”
“Untuk ini, seperti lawatan mengejut saya ke kaunter JPJ Putrajaya baru-baru ini, saya akan meneruskan lawatan mengejut ini di seluruh negara, terutama agensi barisan hadapan, tanpa kelibat mana-mana pegawai kanan.
“Ia bukan bertujuan untuk mencari salah atau mengejar populariti, tetapi kerana saya percaya sebagai KSN, adalah satu amanah kepada saya untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan sentiasa berada di tahap terbaik,” ujarnya.
Tegasnya, beliau juga mahu setiap Ketua Jabatan mengambil pendekatan serupa bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat sentiasa cekap, pantas dan profesional.
#penjawat awam #Shamsul Azri Abu Bakar #KSN #ketua setiausaha negara
;