'Mentaliti mesti terima ijazah untuk maju dalam kehidupan mesti diubah'
Irfan Faruqi
Oktober 12, 2023 23:41 MYT
Oktober 12, 2023 23:41 MYT
KUALA LUMPUR: Mentaliti orang awam yang melihat pencapaian akademik sebagai jalan untuk maju dalam kehidupan perlu diubah, memandangkan sebahagian besar pekerjaan yang wujud hari ini akan hilang pada masa akan datang.
Pengarah BowerGroupAsia, Arinah Najwa Ahmad Said berkata sekiranya mentaliti itu tidak berubah, maka sasaran Kerajaan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) tidak akan tercapai.
“Seterusnya peralihan persepsi terhadap universiti sebagai kilang bagi menghasilkan pekerja. Itu bukan tujuan penubuhan sesebuah universiti. Itu ialah tempat untuk belajar kemahiran dan ilmu untuk mereka mengaplikasikan teori tersebut seterusnya menjadi usahawan.
“Sebaliknya kita terlalu tertumpu kepada kemestian untuk sambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk maju dalam kehidupan. Sedangkan realitinya, ramai orang berpelajaran tinggi masuk sektor ekonomi gig dan tidak mempraktikkan apa yang dipelajari di IPT.
“Kita boleh perakukan ketika ini bahawa pekerjaan yang ada hari ini mungkin akan berubah dalam tempoh lima tahun. 10 tahun lagi kita akan ada kerja yang tidak wujud sekarang. Oleh itu penting untuk kita akui realiti yang sedang berlaku tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Selain itu, Arinah turut menekankan keperluan untuk mengubah mentaliti mengenai pulangan yang boleh dijana melalui sektor pertanian.
Sekiranya rakyat Malaysia masih berpegang kepada fahaman lapuk, maka isu keterjaminan makanan dalam negara tidak dapat diselesaikan, bahkan NIMP 2030 juga sukar dicapai memandangkan tidak ada bakat serta kemahiran yang mencukupi dalam bidang tersebut.