'Mentaliti ketam' dalam politik negara perlu dibuang - Anas Zubedy
Israr Khalid
Jun 23, 2021 06:41 MYT
Jun 23, 2021 06:41 MYT
KUALA LUMPUR: Pernahkah anda melihat sekumpulan ketam di dalam sebuah bekas? Kalau tak berpeluang mengikut nelayan ke laut atau di pasar hasil laut, cari sahaja di internet videonya.
Anda dapat lihat, sekiranya ada seekor ketam cuba memanjat keluar dari bekas itu, akan ada ketam lain yang menariknya kembali ke bawah.
Begitulah perangainya sehingga semuanya mati di situ atau berakhir di dalam periuk.
Senario sama berlaku dalam politik negara kita, menurut Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy.
"Tiada siapa yang mahu melihat yang lain berjaya, kerjanya hanya menjatuhkan sahaja. Tak boleh tengok orang lain lebih," katanya.
Sekiranya mentaliti ketam ini terus wujud dalam kalangan ahli politik, tambahnya, ia akan menjadi teladan buruk yang diikuti oleh rakyat dan akhirnya sampai bila-bila pun negara kita terus berada dalam kemelut yang tak sudah.
Bagaimanapun, Anas percaya, mentaliti buruk itu dapat dihapuskan sekiranya para pemimpin lebih matang dalam berfikir dan berpolitik.
“Ini masalah besar kerana kita masih belum matang di mana kita menerima sebuah kerajaan minoriti dan membiarkan mereka mentadbir selama lima tahun. Ada saja orang nak menjatuhkan kerajaan.
“Kalau begitu sampai kita selama-lamanya takkan stabil. Inilah mentaliti ketam yang kita tak nampak,” jelasnya.
Sepatutnya para pemimpin khususnya Ahli Parlimen, walau kerajaan dibentuk dengan minoriti sekalipun, harus bersama untuk membawa negara menuju sejahtera, lebih-lebih lagi waktu peperangan dengan pandemik COVID-19 ini.
Dalam kalangan 222 orang Ahli Parlimen itu, kata Anas, ramai bijak pandai dari pihak kerajaan mahupun pembangkang dan idea-idea mereka ini perlu disatukan demi memajukan negara.
“Bukan untuk memerangi COVID-19 sahaja tetapi bagaimana untuk kita wujudkan suasana politik yang tidak carca-marba seperti sekarang ini.”
Namun sebaliknya, Ahli Parlimen terus bertelingkah mengumpul Akuan Bersumpah (SD) untuk saling menunjukkan penguasaan kerusi mereka di Dewan Rakyat. Sehingga satu peringkat, kata Anas, SD itu mencapai ‘inflasi’ dan hilang nilainya.
Maka apabila dibuka semula Parlimen untuk bersidang nanti, Anas merayu supaya segalanya dapat berubah.
Ahli Parlimen perlu menghayati sedalam-dalamnya dan berpegang kembali kepada kesemua prinsip Rukun Negara, dan buat masa sekarang, ketepikan segala kepentingan politik untuk bersama menyelesaikan masalah negara.
“Saya harap Yang di-Pertuan Agong dalam titah pembukaan Baginda nanti dapat menggariskan matlamat yang perlu dicapai dan semua Ahli Parlimen perlu hormat dan patuh dengan titah Baginda itu.
“Ikut rukun kesopanan dan kesusilaan, jangan lagi kurang ajar berteriak sana sini. Kalau kita cakap elok-elok, walaupun pemikiran kita tidak sama, segala masalah boleh ditangani,” ujarnya.
Tonton temu bual penuh Anas Zubedy dalam Agenda AWANI bersama hos, Nazri Kahar, di sini:
#Agenda Awani
#Anas Zubedy
#COVID-19
#pandemik
#ahli politik
#pembangkang
#Dewan Rakyat
#mentaliti ketam