Menjelang Syawal: Trafik di Kelantan mulai sesak
Muhafandi Muhamad
April 24, 2022 06:15 MYT
April 24, 2022 06:15 MYT
KOTA BHARU: Polis Kelantan mengerahkan 250 anggota trafik untuk bertugas sepanjang masa bagi mengawal lalu lintas di jalan utama bandar Kota Bharu, kawasan tumpuan dan pintu masuk ke Kelantan.
Kerahan itu bertujuan memastikan kelancaran trafik yang dijangka berlipat kali ganda bermula minggu ini.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, pihaknya juga akan mengerahkan unit lain bagi membantu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik negeri, selain penggunaan unit ronda bermotosikal (URB) dan kereta peronda.
"Anggota traffik boleh dikatakan kita menggunakan 100 peratus untuk kawal lalu lintas di sempadan negeri dan pusat bandar.
"Kalau kita tengok hari ini pun jumlah kenderaan sudah meningkat. Di Wakaf Che Yeh pada malam sudah tidak bergerak, bermakna bukan sahaja rakyat Kelantan yang ada, rakyat Kelantan yang dari luar pun sudah kembali," katanya.
Ops Selamat peringkat Kelantan akan bermula pada 29 April depan.
Shafien sebelum in memaklumkan sekitar 2 juta kenderaan dijangka keluar masuk ke Kelantan bermula awal Ramadan hingga menjelang Syawal.
Pihaknya juga menjangkakan jalan bandaran dan jalan utama akan mengalami kesesakan bermula minggu ini dengan peningkatan kenderaan termasuk perantauan yang mulai pulang untuk menyambut satu Syawal di Kelantan.