Menjelang Syawal: Kasut 'bundle' raih permintaan tinggi

Nur Fazlizai Ali
April 26, 2022 06:20 MYT
Antara kasut 'bundle' berjenama yang ditawarkan. - Astro AWANI
DUNGUN: Permintaan terhadap kasut terpakai atau 'bundle' menyaksikan peningkatan berlipat kali ganda pada penghujung Ramadan berbanding hari biasa.
Menurut pengusaha kedai kasut terpakai, Termizi Saari, 41, kasut 'bundle' terutama yang berjenama mempunyai peminat tersendiri dan dia terpaksa menambah stok bagi menampung permintaan pelanggan.
Jelas Termizi, kedai kasut terpakai miliknya turut menjadi tumpuan orang ramai untuk membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
"Orang kata, kaki bundle Ini dia minat lebih kepada 'jackpot', untuk mencari kasut bundle yang 'original, tapi mungkin mereka tumpu kepada ekspo," katanya.
Termizi berkata harga sepasang kasut yang ditawarkan bermula serendah RM50 sehingga ratusan ringgit mengikut gred, kualiti, dan jenama.
Sementara itu, bagi Ahmad Roki Razali, 25, dan Razali Othman, 53, memiliki kasut berjenama yang diidamkan dengan harga yang jauh lebih murah berbanding harga asal adalah satu kepuasan.
"Bundle ini pilihan yang berpatutan. Kira keadaannya sangat elok boleh bersaing dengan produk di butik.
"Kira barang bundle pun kita tahu, bukan barang tiruan," kata Ahmad Roki.
Bagi Razali pula, kedai 'bundle' tidak dipenuhi pengunjung menjadikan keadaan lebih selesa untuk memilih barang.
"Di kedai 'bundle' ini, tak ada orang, makna senang kita nak pilih, buat pilihan pun mudah.
"Kita ambil sahaja yang mana kita berkenan, tak perlu berpusu," katanya.
Menurutnya, kasut 'bundle' pilihan peminat tegar adalah yang dikategorikan sebagai 'vintage item' dan kebanyakannya sudah tidak dikeluarkan lagi oleh pengilang.
#kasut terpakai #bundle #Ramadan #Aidilfitri
;