Menjelang setahun serangan Israel, Rosco anjur konvoi solidariti untuk Gaza
Faida Rahim
Oktober 6, 2024 11:45 MYT
Oktober 6, 2024 11:45 MYT
KUALA LUMPUR: Menjelang setahun pencerobohan tentera Israel di Gaza, situasi masih belum menampakkan bayang serangan rejim Israel akan dihentikan dalam masa terdekat.
Malah angka kematian terus meningkat mencecah hampir 42,000 melibatkan ribuan nyawa terkorban termasuk kanak-kanak dan wanita.
Menyedari hakikat kezaliman Israel, pada pagi ini berlangsung Pelepasan Program Konvoi Motorsikal Seru For Gaza anjuran Rockers Social Club (Rosco) di Kafe Rosco, Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur.
Pengusaha Rosco, Syed Ariff Alhabshi memaklumkan buat pertama kali, Rosco menganjurkan konvoi motorsikal jenis Cafe Racer di sekitar Lembah Klang sebagai tanda solidariti perjuangan rakyat Palestin.
“Seramai 40 pemilik motorsikal Cafe Racer menyertai pada pagi ini yang mana kami akan mengelilingi bandar Kuala Lumpur dan mengagihkan bendera Palestin.
“Perjalanan sepanjang hampir 10 kilometer pada hari ini, kami bawa bersama bendera Palestin bermula dari Jalan Raja Abdullah kami menuju ke KLCC, Bukit Bintang, Masjid Jamek, Pasar Seni seterusnya kembali ke Rosco dan dianggarkan perjalanan mengambil masa dalam satu jam,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Ariff memberitahu konvoi Seru For Gaza ini sebagai tanda protes terhadap kekejaman melampau Israel yang membunuh kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Sementara itu, hasil jualan makanan di Kafe Rosco sempena program Seru For Gaza ini akan disalurkan ke tabung MyFundAction (MFA).
“Sebahagian hasil jualan akan diserahkan kepada tabung bantuan Palestin yang dikendali pihak MFA dan pastinya kami amat berbesar hati dapat bekerjasama menyatakan pendirian dan sokongan kepada rakyat Palestin,” katanya.
Sementara itu, Syed Ariff memaklumkan sepanjang konvoi itu, Rosco turut mengambil peluang mengadakan kutipan dana untuk diserahkan kepada MFA.