Menjelang Setahun Malaysia Baharu: Merakyatkan Dasar Luar

Rahimah Abdullah
April 22, 2019 05:52 MYT
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika sidang media sempena setahun Pakatan Harapan di Wisma Putra, pada Isnin. - Foto BERNAMA
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan terus berusaha merakyatkan Dasar Luar bagi mendekatkan rakyat Malaysia dengan kementerian itu.
Jelasnya, langkah baharu dilaksanakan melalui dasar berkenaan akan turut menerangkan stigma masyarakat yang menganggap ia hanya tanggungjawab menteri dan diplomat.
"Sebelum ini orang anggap dasar luar ini kerja menteri dan diplomat. Kita sedang memberitahu rakyat bahawa dasar luar bermula dari rumah dan kita telah melakukan beberapa siri perbincangan seperti dengan universiti mengenai dasar luar.
"Kita nak merakyatkan dasar luar. Sebab orang tengok dasar luar ini pakai kot, pakai tali leher, dan naik kapal terbang. Kita cuba terangkan bahawa dasar luar bermula dari rumah," katanya dalam sidang media di Wisma Putra di sini pada Isnin.
Usaha merakyatkan Dasar Luar berkenaan sudah dimulakan di peringkat kementerian dengan penubuhan Majlis Perundingan Dasar Luar yang melibatkan tokoh akademik, bekas duta, wakil orang muda dan tokoh perniagaan.
"Kita telah mencadangkan agar menubuhkan jawatankuasa pemilih dalam polisi forum supaya Parlimen boleh mainkan peranan yang lebih aktif dalam merancang dan memantau dasar luar. Majlis Belia Malaysia dan sekumpulan organisasi anak muda menubuhkan platform program antarabangsa sebab ada banyak aktiviti antarabangsa melibatkan orang muda," ujarnya lagi.
Kementerian Luar Negeri juga bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menempatkan anak muda di pentas antarabangsa dengan cara yang lebih sistematik.
"Kabinet juga telah meluluskan supaya program model United Nation (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) menjadi satu daripada program yang disokong. Ideanya supaya orang muda terlibat dengan isu antarabangsa dengan cara yang sistematik," katanya.
Sementara itu, kementeriannya juga memfokuskan peranan konsulat termasuk tanggungjawab membawa pulang rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara dan bukan hanya individu dituju apabila kehilangan pasport, atau menjaga kaunter.
"Kita bawa pulang 47 rakyat Malaysia dari Kemboja, lapan dari Liberia, 12 pelajar dari kepulauan Jawa dan sebagainya. Saya tak kata sebelum ini tak buat. Namun ini saya bagi arahan. Inilah objektif kita iaitu keselamatan rakyat kita di luar negara," ujar beliau.
#Belia #kabinet #Kementerian Luar #Malaysia #model #Parlimen #pelajar #rakyat #rakyat Malaysia #rumah #Saifuddin Abdullah #sukan #Wisma Putra
;