Menjelang Setahun Malaysia Baharu: Keusahawanan jana pendapatan penduduk luar bandar
Rahimah Abdullah
April 24, 2019 22:27 MYT
April 24, 2019 22:27 MYT
Keusahawanan mampu merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar, ujar Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.
Program pembangunan keusahawanan yang diwujudkan melahirkan usahawan luar bandar yang kreatif dan inovatif.
Lima program keusahawanan dilaksanakan dalam mencapai usaha berkenaan iaitu Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (INOTEKDESA), Karnival Usahawan Desa (KUD) mengikut zon, Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC), Harapan Entrepreneurship Realisation Stratergy (HERS) Fund dan Program Wanita Inspirasi Ekonomi (WISE) MARA.
"Kita nak merapatkan jurang pendapatan antara yang miskin dan kaya. Sebab itu tagline saya 'to work, to engage', iaitu turun ke bawah untuk membuat 'engagement'.
"Usahawan luar bandar boleh menghasilkan produk yang berkualiti. Dari segi pemasaran dan branding, ada yang mendapat tempahan namun terpaksa tolak sebab kurang tenaga kerja.
"Sebab itu INOTEKDESA contohnya memperkenalkan usahawan yang ada mesin buat kuih cepat dan tambah produktiviti serta boleh hasilkan produk lebih bersih," kata Rina pada sidang media sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di sini hari ini.
Bagi KUD, lebih 2,300 usahawan terlibat berbanding 400 orang sebelum ini.
"Ia bukan sahaja sekadar ekspo tetapi juga teknik pemasaran, pempamer mesin, engagement antara usahawan dan menteri serta agensi terlibat, supaya isu-isu dapat diselesaikan dengan mudah," ujar beliau.
Selain itu, ProSPEC yang dimulakan Julai tahun lalu telah memilih 40 doktor yang melalui sesi temuduga dan saringan kelayakan bagi membuka U.n.i Klinik.
"20 doktor telah jalani latihan keusahawanan untuk fasa pertama. 18 buah klinik telah dan akan dibuka pada tahun 2019. Pembiayaan keseluruhan RM5.4 juta untuk memulakan perniagaan U.n.i Klinik," tambah Rina.
#bandar
#Bersih
#ekonomi
#Jurang pendapatan
#klinik
#luar bandar
#Malaysia
#MARA
#menteri
#Rina Harun
#usahawan
#wanita