Menjelang Ramadan, bekalan mercun, bunga api terlarang dari negara jiran mula dibawa masuk
Vivi Sumanti
Mac 23, 2022 14:34 MYT
Mac 23, 2022 14:34 MYT
KUALA KRAI: Selepas rakyat Malaysia diberi kelonggaran termasuk meraikan kedatangan Ramadan tidak lama lagi, aktiviti membawa masuk mercun dan bunga api mulai mendapat permintaan.
Terbaharu, polis Kelantan merampas sejumlah bunga api dan mercun yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran selatan tanah air.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, kejayaan pertama untuk tahun ini dilakukan selepas polis peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai menahan sebuah lori yang membawa 97 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM45,000 di Batu Jong, di sini pada 20 Mac lepas sekitar pukul 3 petang.
"Mercun dan bunga api dibawa menggunakan sebuah lori yang dinaiki oleh tiga individu berusia dari 24 hingga 57 tahun.
"Pemandu lori serta dua penumpang berkenaan mendakwa tidak mengetahui bahawa barangan yang dibawanya adalah mercun dan bunga api kerana mereka mengambil upah menghantar barang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai hari ini.
Menurut Shafien, berlaku permintaan bahan terlarang itu ketika umat Islam membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Ramadan awal bulan depan.
Ketiga tiga individu berkenaan termasuk pemandu lori di tahan reman selama empat hari bermula 20 Mac lepas manakala kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui pemilik barangan berkenaan.
Dalam pada itu, polis akan mempertingkatkan kawalan sempadan dan laluan tikus bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang dijangka rancak apabila sempadan dibuka.