Menjelang Ramadan: Apa maksud fidyah? Siapa wajib membayarnya?
Faris Danial Razi
April 12, 2021 18:51 MYT
April 12, 2021 18:51 MYT
ESOK, umat Islam di Malaysia akan memulakan ibadah puasa.
Amalan berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan adalah wajib dilaksanakan oleh setiap individu yang berkemampuan.
Islam juga menetapkan mana-mana individu yang gagal menunaikan kewajipan rukun Islam ketiga harus melunaskan pembayaran fidyah.
Berikut pemahaman mengenai fidyah yang dipetik dari akaun Twitter Jabatan Kemajuan Islam (Jakim):
Apa maksud fidyah?
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa ganti (qada) Ramadan.
Apakah hukum membayar fidyah?
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ini adalah golongan yang diwajibkan membayar fidyah atau melakukan puasa ganti (qada) mengikut kepada situasi tertentu:
GOLONGAN DIWAJIBKAN QADA PUASA DAN MEMBAYAR FIDYAH
- Perempuan hamil yang bimbangkan keselamatan kandungan jika berpuasa Ramadan
- Bagi kes perempuan yang tidak berpuasa kerana bimbang keselamatan dirinya ketika hamil dan yang menyusukan anak, juga kerana haid atau pemusafir dan orang yang sakit kemudiannya sembuh, jika mereka tidak segera mengqada puasanya hingga masuk Ramadan tahun hadapan.
- Perempuan yang menyusukan anak dan bimbangkan keselamatan bayinya jika berpuasa Ramadan.
- Perempuan yang haid sehingga menghalangi puasa Ramadan dan tidak menggantikan puasanya sebelum tahun berikutnya.
GOLONGAN DIWAJIBKAN MEMBAYAR FIDYAH SAHAJA
- Orang tua yang sangat uzur dan tidak mampu berpuasa Ramadan.
- Orang yang sakit dan tiada harapan sembuh.
GOLONGAN DIWAJIBKAN QADA PUASA SAHAJA
- Perempuan yang menyusukan anak dan bimbang keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan.
- Perempuan hamil yang bimbangkan keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan.
- Orang yang musafir dan berbuka kerana musafirnya.
- Orang yang sakit sehingga tidak dapat berpuasa kemudian sembuh semula.