Menjelang Ramadan: 60 penduduk Padang Terap terima bantuan rumah
Astro Awani
April 10, 2021 15:03 MYT
April 10, 2021 15:03 MYT
KUALA NERANG: Impian mendiami rumah kediaman yang lebih selesa menjadi kenyataan bagi 60 penduduk di kawasan Parlimen Padang Terap.
Mereka merupakan antara penduduk yang terpilih menerima bantuan perumahan di bawah inisiatif Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah, KEDA.
Menurut Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, projek bantuan perumahan itu dibina dengan kos RM9.5 juta.
"Bantuan perumahan ini saya fikir amat bermakna buat penduduk khususnya golongan kurang mampu untuk memiliki rumah kediaman yang selesa.
"Kerajaan memang sentiasa mencari jalan dan berusaha untuk melihat rakyat hidup dalam suasana yang selesa dan berkualiti," katanya.
Beliau sebelum itu menyampaikan replika kunci rumah kepada 60 penduduk perumahan Taman Desa Pudina, Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kubang Kenyeng, Padang Terap pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata projek perumahan itu dilaksanakan bermula pada tahun 2017 dan kini sedia untuk didiami oleh penduduk yang terpilih.
"Syukur projek bantuan perumahan ini berjaya disiapkan tepat pada masanya lebih-lebih lagi menjelang kita nak menyambut bulan Ramadan dan juga Aidilfitri tidak lama lagi.
"Ia sekali gus membolehkan mereka yang menerima sumbangan rumah ini mendudukinya sebelum menjelang tiba Ramadan dan Aidilfitri," katanya.
Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang juga Pengerusi KEDA.