Menjelang PRU14, jangan percaya atau sebar mesej palsu - SPR
Astro Awani
Mei 7, 2018 20:57 MYT
Mei 7, 2018 20:57 MYT
Orang ramai diminta agar tidak mempercayai sebarang mesej palsu yang ditularkan menjelang hari mengundi, 9 Mei ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, terdapat usaha pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk cuba mengelirukan pengundi dengan menyebarkan pelbagai mesej palsu berbentuk video, teks dan gambar di media sosial.
Menurutnya, antara mesej-mesej palsu yang ditularkan termasuk berlaku pengiraan terhadap undi awal di beberapa kawasan, kertas undi disapu lilin, kaedah penandaan kertas undi, tuntutan perjalanan mengikut jarak perbatuan dan juga terdapat titik hitam pada kertas undi.
Berikut ialah penjelasan beliau tentang isu-isu tersebut, menerusi satu kenyataan hari ini.
PENGIRAAN UNDI AWAL
SPR menegaskan bahawa ianya tidak pernah berlaku dan semua kertas undi awal masih disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis. Kertas-kertas undi awal tersebut hanya akan dikira pada 9 Mei bermula jam 4 petang. Semua proses pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan dibuat dengan disaksikan oleh semua pihak berkepentingan dalam kehadiran Calon-calon atau ejen-ejen Calon.
KERTAS UNDI DISAPU LILIN
Dakwaan kononnya kertas undi pos telah disapu lilin di petak calon tertentu bagi menyukarkan pengundi menanda pangkah di petak tersebut juga adalah palsu. Setiap kertas undi yang dicetak akan disemak terlebih dahulu dengan teliti pada setiap helaian bagi memastikan tiada sebarang kekotoran seperti tanda titik hitam (black dot).
KAEDAH PENANDAAN KERTAS UNDI
Kaedah penandaan yang betul dan digalakkan adalah dengan cara membuat tanda pangkah di dalam salah satu petak mana-mana calon yang dipilih serta tidak melangkau ke petak calon-calon yang lain. Sekiranya terdapat keraguan, ia akan diputuskan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) sama ada diterima atau ditolak dalam kehadiran Ejen-Ejen Mengira Undi bagi Calon yang bertanding.
TUNTUTAN PERJALANAN MENGIKUT JARAK PERBATUAN
SPR tidak pernah mengeluarkan sebarang makluman tentang pengundi boleh membuat tuntutan perjalanan mengikut jarak perbatuan bagi mereka yang balik mengundi. Ini berikutan terdapat mesej tular yang kononnya pengundi boleh membuat tuntutan perjalanan di Pejabat Daerah dengan membawa MyKad dan jumlah dibayar akan mengikut jarak perjalanan iaitu antara RM10 hingga RM1,000.
Justeru, SPR menyaran orang ramai agar tidak terpengaruh dan menyebar mesej-mesej palsu kerana tindakan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang.