Menjelang pembentangan Belanjawan 2020: Apa bakal menanti sektor usahawan?
Hasimi Muhamad
Oktober 11, 2019 09:51 MYT
Oktober 11, 2019 09:51 MYT
Menjelang pembentangan Belanjawan 2020 hari ini, agensi kerajaan dan pemain industri mengharapkan usaha berterusan daripada kerajaan dalam merangsang ekonomi digital dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Jelas pihak terbabit, fokus utama dalam Belanjawan kali ini adalah perlu menyokong pertumbuhan keusahawanan, selain pertambahan peruntukan terhadap sektor berkenaan.
Menurut pengerusi ASEAN Rice Bowl Startup Awards, Hamdi Mokhtar berkata peruntukan yang mencukupi akan memberi kesan kepada perkembangan syarikat permulaan untuk meningkatkan perniagaan mereka di tahap lebih tinggi.
“Satu ruang yang mana agensi kerajaan boleh memainkan peranan yang lebih dalam apabila adanya peningkatan dalam ekosistem permodalan, selain mengalakkan visi-visi di peringkat serantau untuk syarikat permulaan di Malaysia.
“Jadi, saya rasa kalau ada insentif-insentif (peningkatan modal) dan inisiatif kerajaan ke arah itu, ia akan menjadi sesuatu yang sangat baik untuk ekosistem syarikat permulaan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri berkata, kesalinghubungan internet di kawasan luar bandar perlu dipertingkatkan.
“Harapan kami (MDEC) adalah supaya digital ekonomi diutamakan sebagai salah satu teras utama untuk membangunkan negara dan dari aspek itu, kita boleh fikirkan bajet termasuk kesalinghubungan di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said menambah Belanjawan 2020 perlu mempunyai lima elemen dalam menjamin perkembangan perusahaan di negara ini.
“Pertama bantuan dari sudut pembinaan kapasiti; kedua dari sudut kewangan; ketiga bantuan dari sudut teknologi; bantuan dari segi akses pasaran; dan paling penting adalah sistem perundangan bagi membolehkan PKS atau syarikat permulaan bergerak maju,” jelasnya.
Tema Belanjawan 2020 ialah ‘Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi’.
Ia dijangka dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada jam 3 petang, hari ini.
#ASEAN
#bajet
#Belanjawan 2020
#digital ekonomi
#ekonomi
#Hamdi Mokhtar
#kerajaan
#kesalinghubungan internet
#Lim Guan Eng
#MDEC
#Noor Azmi Mat Said
#PKS
#startup
#syarikat permulaan
#usahawan