Menitis air mata tengok rumah dihanyut banjir, bumbung beralih ke tepi jalan raya - Mangsa

Bernama
Disember 19, 2021 22:28 MYT
Sebuah bumbung rumah dilihat berada di tepi jalan raya akibat dihanyutkan oleh arus deras dalam kejadian banjir kilat di Kampung Bandar Tinggi Kuala Klawang hari ini. - Foto BERNAMA
JELEBU: Ibarat tinggal sehelai sepinggang, itulah nasib menimpa keluarga Ibrahim Taib, apabila kediaman mereka di Kampung Bandar Tinggi, Kuala Klawang dekat sini ranap dan dihanyutkan banjir awal pagi tadi.
Ibrahim, 62, berkata dua rumah miliknya kini hanya tinggal tapak sahaja akibat banjir setelah hujan berterusan menyebabkan air naik sejak 8 malam semalam.
Beliau berkata kejadian banjir kali ini adalah terburuk yang pernah dialaminya sejak menetap di kampung itu selama 35 tahun.
"Banjir kali ini paling teruk pernah kami sekeluarga alami menyebabkan dua buah rumah saya dan anak dihanyutkan banjir.
"Saya hanya mampu menangis melihat rumah dihanyutkan air," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Ibrahim berkata dia, isteri, anak serta dua cucunya telah memindahkan barang ke tempat lebih tinggi di dalam rumah apabila mendapati air sudah memasuki rumah.
Kemudian dia bersama ahli keluarganya yang lain menumpang di pusat mencuci kenderaan berhampiran dengan rumahnya.
"Semua berlaku sekelip mata, selepas anak beritahu saya dalam pukul 2 pagi rumah telah hanyut," katanya dan menambah kebiasaannya banjir hanya setakat bahagian dapur sahaja. Sekarang saya tinggal bersama anak di taman perumahan berdekatan di sini untuk sementara waktu," katanya.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan tersebut telah menjadi tanah lapang manakala atap rumah itu tertanggal dan beralih ke tepi jalan raya.
Selain itu terdapat rumah lain terkesan akibat banjir dan penghuni rumah sedang membersihkan kawasan rumah masing-masing yang dipenuhi lumpur.
-- BERNAMA
#Kuala Klawang #ibrahim taib #banjir #Kampung Bandar Tinggi
;