Menikmati sabar dan syukur melalui tarbiah Madrasah Ramadan
Mei 29, 2019 10:08 MYT
SEBAGAI insan, seringkali kita disaran menyatakan rasa sabar dan syukur dalam segala hal yang berlaku. Pun begitu menjadi fitrah insan, kita sering alpa dalam bersabar dan bersyukur ketika menjalani kehidupan seharian atas kesibukan dan alasan masing-masing. Walaupun Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa semua daripada kita akan tetap melakukan kesalahan dan kesilapan selagimana kita bergelar insan tetapi itu bukanlah tiket untuk kita terus lupa dan mendustakan nikmat Tuhan.
Rasulullah s.a.w bersabda: "Kesemua anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat" (HR Ibn Majah). Maka proses tarbiah sepanjang Madrasah Ramadan merupakan kesempatan terbaik untuk setiap daripada kita bermuhasabah dan memohon keampunan dari Allah Azza Wa Jalla; apatah lagi kita telah melewati fasa kedua berpuasa di bulan Ramadan iaitu fasa keampunan (maghfirah).
Ramadan adalah bulan kesabaran. Ibadah puasa dan nikmat sabar mempunyai hubung kait yang saling erat dalam mengangkat keimanan seorang hamba pada Penciptanya. Dalam perjalanan madrasah Ramadan, ibadat berpuasa mengajar setiap insan bersabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Bulan Ramadan juga mendidik insan untuk bersabar menahan diri dalam melakukan dosa dan menurut hawa nafsu yang akan mengurangkan pahala berpuasa. Berpuasa di bulan Ramadan turut mengasuh insan agar redha dalam menghadapi setiap takdir dan musibah yang menimpa dengan penuh kesabaran.
Jelas sekali proses tarbiah menjadi insan yang bertaqwa bermula dengan usaha mencapai tahap kesabaran yang tinggi ketika menghadapi ujian berpuasa daripada Allah. Kejayaan tarbiah Madrasah Ramadan bukan saja meningkatkan martabat seseorang malah Allah SWT berfirman tentang mereka yang mendapat nikmat sabar di dalam Al Quran mahfumnya, "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (balasan) pahala mereka tanpa batas." (Surah az-Zumar:10). Nah, begitu tinggi ganjaran nikmat kesabaran pada pandangan Ilahi dan beruntunglah mereka yang melalui tarbiah madrasah Ramadan dalam keadaan memperolehi nikmat sabar.
Mensyukuri nikmat adalah sesuatu yang dituntut pada setiap insan yang telah mendapat kenikmatan. Sewajarnya kita harus memanjatkan kesyukuran atas nikmat kesabaran terutama ketika di bulan Ramadan. Syukur adalah saudara dari sabar, dan nikmat syukur tidak akan sempurna tanpa merasai nikmat sabar! Dengan kesyukuran, nikmat yang kecil akan terasa besar dan dugaan yang besar akan dirasakan kecil. Nikmat syukur menjadikan kita sentiasa ingin mencukupkan dan saling mencukupi walau apapun situasi yang dihadapi samada susah mahupun senang. Nikmat syukur menerbitkan nilai-nilai kemanusiaan dan nikmat syukur juga membentuk insan yang mempunyai jiwa yang sentiasa ingin memberi dan menyumbang agar kemanisan syukur turut dapat dikongsi bersama.
Dalam perjalanan madrasah Ramadan kali ini, Allah SWT telah mengurniakan kesempatan kepada beberapa sahabat dan penulis untuk menjiwai nikmat sabar dan nikmat syukur melalui penglibatan kami menyantuni golongan asnaf miskin, mualaf orang asli, anak-anak yatim, anak-anak tidak bernasab, ibu-ibu muda serta golongan miskin bandar. Kami turut diperkenalkan dengan lebih dekat kepada petugas-petugas di lapangan dan sebenarnya mereka inilah wira-wira tak didendang yang menjadi penggerak kerja-kerja kebajikan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan.
* Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)