Menikmati char kuew teow bersama keluarga, cara Nicol David sambut Merdeka

Bernama
Ogos 26, 2019 19:08 MYT
Nicol David bersama ibunya, Ann Marie David serta bapanya, Desmond David yang tidak pernah jemu menyokong kerjayanya sebagai pemain skuasy ternama dunia.
Char Kuew Teow makanan yang cukup sinonim dengan rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan penduduk Pulau Pinang menjadi pilihan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David untuk dinikmati sempena sambutan ambang merdeka dan hari lahirnya.
Kelebihan menyambut kelahiran pada tarikh 26 Ogos ternyata tidak disia-siakan anak jati Pulau Pinang itu, yang mengambil peluang menyambut ulang tahun ke-36nya sekali gus meraikan kemerdekaan Malaysia yang ke-62 untuk bersama-sama keluarga dan rakan rapatnya.
"Rancangan saya untuk Merdeka ialah untuk mencari di mana makanan Malaysia yang sedap dan dalam masa yang sama menyambutnya bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.
"Saya cuma mahu makan dan makan. Ini masanya untuk saya makan, kerana saya suka makanan. Saya tidak risau (mengenai kalori) kerana tidak lagi perlu berfikir mengenai squash dan mengekalkan diet saya seperti sebelum ini," katanya ketika di temui Bernama.
Selain menikmati makanan yang boleh dikatakan 'makanan kebangsaan' buat rakyat Malaysia itu, Nicol turut bercadang menikmati pelbagai jenis hidangan, memandangkan beliau sebelum ini tidak dapat merasai keenakan makanan tempatan yang kaya dengan pelbagai rasa menarik.
Juara dunia lapan kali itu mengakui, beliau kini tidak terlalu risau akan pengambilan kalori harian, memandangkan dirinya kini sudah 'bebas' daripada diet yang ketat sepanjang bergelar atlet kebangsaan.
Untuk rekod, selepas dua dekad berkecimpung dalam arena sukan tanah air, Nicol akhirnya mengumumkan persaraannya pada Jun lepas.
Sementara itu Nicol berkata, antara detik paling bermakna bagi dirinya sepanjang penglibatannya dalam sukan antarabangsa, momen menyertai perarakan kontinjen negara ketika mewakili Malaysia dalam temasya sukan, sebagai detik paling bermakna dan membanggakan yang pernah dirasainya.
"Saya rasa paling mengembirakan ialah apabila menjadi sebahagian daripada kontijen sukan sama ada Sukan Komanwel ataupun Sukan Asia dan kita rasa amat bangga apabila semua berpakaian trek, datang bersama-sama sebagai satu pasukan, sama ada kita bertanding ataupun tidak.
"Sama ada bermain badminton, skuasy, terjun atau berbasikal kesemua yang kita tandingkan, kita bertanding untuk Malaysia dan saya rasa itu satu yang amat signifikasi untuk kami semua. Dan dalam masa yang sama, seluruh dunia datang bersorak, walaupun anda menontonnya melalui televisyen," katanya.
Sepanjang penglibatannya dalam sukan negara, Nicol telah memenangi tiga pingat emas dalam temasya Sukan Dunia, tujuh pingat emas Sukan Asia, dua pingat emas Sukan Komanwel dan beberapa pencapaian yang membanggakan.
Dalam pada itu, Nicol yang berdarah campuran India dan Cina itu berharap, agar rakyat Malaysia mampu meraikan kepelbagaian kaum yang ada di negara ini dengan suasana harmoni, tanpa perlu berbalah sekali gus mencetuskan isu perkauman.
"Bagi saya, saya benar-benar menumpukan di mana saya dibesarkan dengan keluarga saya dan proses pembesaran saya dalam pelbagai budaya, saya banyak belajar perkara ini, dan faham yang Malaysia perlu kepelbagaian warisan dan budaya. Kita lebih baik dari apa yang kita fikirkan dan kita semua berkongsi banyak perkara asas yang sama.
"Kita adalah rakyat Malaysia dan saya rasa rasisme ada di mana-mana tetapi, kita sepatutnya perlu fokus mengenai apa yang kita ada dan kita sebenarnya bersatu dalam kelainan budaya. Jadi inilah sikap positif yang perlu kita fokuskan dan bergantung padanya," katanya. - BERNAMA
#juara dunia #MaknaMerdeka #Merdeka #MerdekaKu #Nicol David #Ratu Skuasy
;