Mengurangkan 'bencana' ke atas pekerja akibat banjir
Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
Januari 8, 2021 10:55 MYT
Januari 8, 2021 10:55 MYT
BANJIR merupakan bencana alam yang saban tahun melanda Malaysia.
Penulis tidak mahu mengupas penyebab kepada banjir berskala besar yang sebahagiannya disumbang oleh faktor perubahan iklim dan ketidaklestarian pembangunan. Apa yang ingin penulis kongsikan adalah apakah pendekatan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan beban mereka yang terkesan terutamanya melibatkan aspek pekerjaan.
Secara nyata dan fakta, kita telah menyaksikan bagaimana banjir berskala besar mempengaruhi kehidupan ribuan orang. Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, jumlah mangsa banjir pada tahun 2018 dan 2019 masing-masing adalah 42,467 dan 61,744. Untuk tahun 2020/2021 ini, jumlah kes dijangka meningkat lebih tinggi daripada tahun 2019. Pada 7 Januari 2021 sahaja lebih daripada 20,000 orang dipindahkan kerana banjir yang melibatkan kebanyakannya di negeri Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.
Anggaran impak ekonomi akibat banjir telah banyak dilakukan dengan menggunakan pelbagai pendekatan oleh pihak berkuasa mahupun para penyelidik. Keseluruhannya memberi mesej bahawa impak akibat banjir kepada isi rumah adalah besar. Sebagai contoh, kajian oleh penyelidik Universiti Malaya mendapati banjir pada 2014 di Terengganu dianggarkan dapat mengurangkan potensi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Terengganu sebanyak 1.5%.
Bersandarkan kepada fakta-fakta di atas, apakah yang dapat kita pelajari daripada kejadian banjir yang berlaku saban tahun? Sedarkah kita bahawa pekerjaan dan pendapatan mangsa banjir saban tahun terjejas? Ini belum lagi diambil kira pekerjaan yang turut terkesan akibat musim tengkujuh seperti nelayan dan penoreh getah.
Pada pandangan penulis, sudah tiba masanya untuk kita mengunakan pendekatan yang lebih lestari di dalam mengurangkan risiko ekonomi dan melindungi mata pencarian akibat banjir. Hal ini kerana mereka yang berpendapatan rendah dan berada di luar bandar lebih terdedah kepada risiko banjir. Pekerja berpendapatan rendah yang tinggal di luar bandar cenderung untuk bekerja di sektor tak formal dengan kekurangan perlindungan sosial. Oleh itu wujud perkaitan antara banjir dan kemiskinan, yang dapat menyebabkan orang miskin terjebak dalam kitaran kemiskinan akibat terdedah kepada risiko banjir.
Jika kita telusuri aspek pekerjaan dan banjir, persoalan-persoalan berikut adalah relevan untuk dibincangkan.
Adakah pekerja mempunyai alasan yang sah untuk tidak bekerja? Selalunya terdapat banyak sebab mengapa pekerja tidak hadir untuk bekerja sekiranya berlaku banjir. Contohnya mereka mungkin sakit, terputus hubungan ke tempat kerja dan ketiadaan tempat tinggal sempurna kerana kerosakan rumah. Ini membawa kepada keadaan di mana pekerja tidak hadir tetapi mempunyai alasan yang sah untuk tidak hadir.
Apa yang berlaku sekiranya pekerja boleh datang bekerja tetapi mereka tidak dapat melaksanakan tugasnya? Dalam situasi tertentu, pekerja masih boleh datang bekerja semasa berlaku banjir tetapi mereka berkemungkinan tidak dapat menjalankan tugasnya kerana perniagaan tertentu terjejas. Dalam keadaan ini majikan boleh meminta pekerja untuk mengambil cuti tambahan. Cuti ini pada dasarnya harus dibayar tetapi mungkin tidak dilaksanakan atas faktor-faktor tertentu seperti sifat perniagaan yang tidak formal dan ketiadaan klausa berkaitan dengan bencana alam terkandung di dalam kontrak pekerjaan.
Bolehkah majikan memotong gaji sekiranya pekerja tidak dapat bekerja? Sebagai tindak balas kepada ketidakhadiran bekerja, majikan cenderung mengambil antara dua tindakan yang tidak diingini iaitu memotong gaji atau tidak membayar pekerja selama tempoh ketidakhadiran. Pekerja berstatus kontrak dengan pembayaran gaji harian dan sektor tak formal kemungkinan besar akan terjejas oleh tindakan ini. Bagi sektor tak formal, kepatuhan kepada kewajipan undang-undang aspek pekerjaan selalunya tidak dititik beratkan.
Oleh kerana banjir mempengaruhi secara langsung dan tak langsung pekerjaan, maka persoalannya, adakah kita mempunyai program jaringan keselamatan yang mencukupi untuk mengurangkan beban pekerja akibat banjir?
Kita ambil maklum bahawa terdapat skim insuran banjir atau insuran catastrophe yang ada di pasaran. Walau bagaimanapun, skim insuran jenis ini dibentuk terutamanya untuk bantuan mengurangkan kos memperbaiki kerosakan bangunan, rumah dan peralatan disebabkan oleh banjir. Oleh itu, ia membantu sebahagian sahaja pemulihan isi rumah tanpa mengambil kira kelangsungan pekerjaan kerana kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
Untuk meningkatan "ketahanan" atau kalis krisis banjir, pada pandangan penulis, sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan sebuah program bantuan aktif, mungkin dalam bentuk insuran pekerjaan-bencana alam, yang dapat mengimbangi pendapatan dan kehilangan pekerjaan akibat banjir. Jenis program ini juga harus diterapkan dan dikembangkan untuk pekerjaan lain juga yang turut menerima kesan di musim tengkujuh seperti nelayan dan penoreh getah.
Pada pandangan penulis, pilihan untuk mempunyai program insuran pekerjaan yang berkaitan dengan bencana alam mempunyai beberapa kelebihan: (i) mengurangkan beban fiskal kerajaan dengan cara yang lestari, (ii) memperkukuh dasar pasaran buruh yang aktif dengan mengambil kira aspek bencana alam, dan (iii) secara tidak langsung akan meningkatkan formaliti perniagaan untuk tujuan pemantauan. Kita telah pelajari betapa pentingnya memiliki insuran pekerjaan ketika menghadapi pandemik COVID-19. Ia sangat membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan. Program sebegini perlu dipertimbangkan juga kepada pekerjaan yang terkesan akibat banjir.
* Penulis ialah Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, PERKESO
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#banjir
#KDNK
#Kajian
#Kolumnis AWANI
#impak ekonomi
#Beban
#pekerjaan
#pendapatan isi rumah
#pendapatan rendah
#perlindungan sosial
#miskin
#ketidakhadiran bekerja
#potong gaji
#insuran