Mengubati 'kos sara hidup' yang tidak menyakitkan

Prof Madya Mohd Yusof Saari
Disember 28, 2022 04:00 MYT
Bebanan kos perbelanjaan yang dirasai oleh golongan M40 dan B40 pada masa ini bukan sahaja terarah kepada makanan dan minuman, tetapi juga merangkumi pembiayaan pendidikan dan perumahan. - Gambar hiasan
SELURUH rakyat Malaysia mendambakan satu penyelesaian yang ampuh kepada masalah peningkatan kos sara hidup. Rakyat meletakkan harapan besar kepada bahu Kerajaan Perpaduan bagi memastikan perubahan benar-benar berlaku.
Penulis turut berkesempatan memberi pandangan di beberapa platfom media sebagai respon kepada pengumuman kerajaan berkenaan dengan usaha menangani kos sara hidup baru-baru ini.
Kali ini penulis ingin berkongsi pandangan berkenaan dengan 'rawatan' kos sara hidup yang tidak menyakitkan tetapi memberi manfaat berpanjangan.
Dari perspektif ekonomi, kos sara hidup merujuk kepada tahap kuasa beli isi rumah setelah mengambil kira kadar inflasi dan peningkatan pendapatan.
Kos sara hidup tidak menjadi masalah kepada isi rumah dan sesebuah negara jika kadar pendapatan meningkat lebih tinggi berbanding dengan inflasi.
Tetapi ekonomi Malaysia mengalami keadaan sebaliknya iaitu kadar pendapatan isi rumah bertumbuh lebih perlahan berbanding inflasi terutamanya bagi golongan M40 dan B40.
Situasi ini bukan fenomena baharu dan bukan juga hanya muncul selepas pandemik COVID-19 tetapi telah menjadi perbincangan sejak 2015.
Namun, pasca pandemik COVID-19 meruncingkan lagi kedudukan kos sara hidup di Malaysia.
Usaha menangani kos sara hidup perlu bersifat menyeluruh kerana pelbagai faktor mempengaruhi tingkat harga dan pendapatan, sama ada secara langsung atau tak langsung.
Jadi, terdapat dua pilihan dasar yang boleh digunakan oleh kerajaan dalam menangani kos sara hidup, iaitu pendekatan kos pengeluaran dan pendekatan pendapatan.
Penulis ada memberikan ilustrasi ringkas faktor-faktor yang mempengaruhi kos pengeluaran dan pendapatan pada Gambarajah 1.
Dari perspektif pengeluar, kos bahan mentah terutamanya yang diimport, struktur pasaran dan rantaian perbekalan yang bersifat monopolisitik serta persekitaran global mempengaruhi tingkat harga yang dikenakan dalam pasaran.
Dari perspektif isi rumah, gaji dan upah yang diterima dari pasaran buruh mempengaruhi keupayaan kuasa beli mereka kerana dua-per-tiga daripada pendapatan mereka dijana dari pasaran buruh.
Tingkat gaji dan upah pula dipengaruhi oleh struktur gunatenaga dan ekonomi seperti ketidakpadanan pekerjaan yang tinggi dan pengeluaran yang berintensifkan buruh.
Kerajaan perlu menentukan keutamaan intervensi dasar dari sudut manakah yang memberi kesan cepat dalam mengimbangi kos sara hidup. Pendekatan kos pengeluaran atau pendekatan pendapatan?
Tetapi kedua-duanya perlu bergerak secara serentak agar isu ini dapat ditangani sepenuhnya di masa hadapan.
Intervensi ke atas kedua-dua pendekatan akan memberi implikasi kepada pengeluar tetapi memberi pulangan yang lebih baik di masa hadapan. Analoginya, paracetamol adalah pahit tetapi dapat memberi kelegaan kepada sakit kepala.
Penulis ingin memberi pendedahan kepada pihak kerajaan dan mereka yang bertanggungjawab dalam menangani kos sara hidup berkenaan pendekatan 'rawatan' yang tidak menyakitkan tetapi berkesan dalam jangka panjang. Rawatan ini telah terbukti berjaya di negara maju.
Gambarajah 1 ada menunjukkan produktiviti sebagai penghubung di antara kedua-dua pendekatan kos dan pendapatan.
Produktiviti menilai keupayaan input pengeluaran seperti buruh dan mesin mengeluarkan output dalam sesuatu masa. Produktiviti buruh umpamanya mengukur tahap keupayaan seorang buruh mengeluarkan 'output'.
Semakin tinggi produktiviti buruh, semakin tinggi lah pengeluaran 'output' dan hasilnya jumlah keuntungan akan bertambah.
Untuk mendapatkan sedikit pemahaman, penulis memberi gambaran dua senario peranan produktiviti dalam mengekalkan tingkat harga pada Gambarajah 2.
Andaikan harga bahan mentah yang diimport telah meningkat sebanyak 5 peratus. Senario 1 mengandaikan subsidi pengeluaran diberikan sebanyak 3 peratus dan dalam senario 2 subsidi dikurangkan kepada hanya 2 peratus.
Pada senario 1, subsidi yang diberikan hanya dapat mengurangkan kos sebanyak 3 peratus manakala selebihnya dilepaskan kepada pengguna dengan menaikkan harga sebanyak 2 peratus.
Sebaliknya, senario 2 dapat mengekalkan pada harga lama walaupun subsidi dikurangkan kepada 2 peratus kerana telah berlaku peningkatan produktiviti sebanyak 3 peratus.
Peningkatan produktiviti membolehkan pengeluar mengekalkan margin keuntungan kerana jumlah pengeluaran dapat ditingkatkan walaupun subsidi dikurangkan.
Perlu juga dimaklumkan di sini bahawa peningkatan produktiviti turut memberi impak kepada peningkatan gaji dan upah.
Margin keuntungan yang diperoleh oleh pengeluar hasil peningkatan produktiviti seharusnya dikongsi secara saksama dengan pekerja melalui peningkatan upah dan gaji.
Pendedahan manfaat peningkatan produktiviti hanya lah salah satu kaedah 'rawatan' ekonomi kepada kos sara hidup yang tidak menyakitkan pihak pengeluar dan memberi limpahan kepada pekerja.
Terdapat kaedah ekonomi lain yang turut memberi manfaat dengan kesan sampingan yang rendah boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.
Sebagai penutup, penulis ingin mengingatkan bahawa bebanan kos perbelanjaan yang dirasai oleh golongan M40 dan B40 pada masa ini bukan sahaja terarah kepada makanan dan minuman, tetapi juga merangkumi pembiayaan pendidikan dan perumahan.
Tanganilah isu ini secara menyeluruh demi kebaikan rakyat Malaysia.

* Prof. Madya Mohd Yusof Saari adalah Ketua Ekonomi Buruh yang merangkap penasihat Menteri di Kementerian Sumber Manusia & Emiratisasi, UAE

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#kos sara hidup #Kerajaan Perpaduan #Inflasi #pendapatan