Mengoptimum guna tanah: Ambil peluang peruntukan khas untuk tambah pendapatan
Bernama
Mac 25, 2024 04:30 MYT
Mac 25, 2024 04:30 MYT
KUANTAN: Peruntukan khas berjumlah RM90 juta untuk mengoptimumkan penggunaan tanah ladang dilihat sebagai pendekatan 'serampang dua mata' untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan melahirkan usahawan tani terutamanya dalam kalangan belia.
Presiden Majlis Beliau Felcra Malaysia (MBFeM), Mohd Ezwanuddin Mohamad Bakri berkata, peluang itu seharusnya dimanfaatkan oleh generasi pelapis Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Felcra) terutama mereka yang mahu meningkatkan pendapatan dalam bidang pertanian tetapi berdepan kekangan kewangan.
"Modal untuk mengusahakan projek pertanian atau penternakan memang besar.. kita lihat semakin ramai termasuk anak muda mula menunjukkan minat dalam bidang ini kerana dapat memberi pulangan atau sebagai cara menambah pendapatan daripada hanya bergantung kepada hasil komoditi.
"Mengambil kira jumlah besar peruntukan, saya berharap kerajaan dapat memastikan kaedah penyalurannya dibuat sebaik mungkin dan dipantau supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasar dan matlamat kerajaan juga tercapai," katanya semasa dihubungi baru-baru ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara lain mengumumkan peruntukan itu kepada Felcra dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi tujuan itu, dengan mengambil contoh antara projek yang boleh dilakukan ialah tanaman cendawan, nanas, kelapa matag, lembu dan ayam.
Pandangan sama juga diutarakan anak peserta Felcra Halimahtunsa'adiah Ab Rahim, 42, dari Kampung Mambang, Pekan, dekat sini, yang mencadangkan penerima peruntukan turut diberi peluang mendapat khidmat nasihat daripada pihak berkaitan khususnya agensi pertanian atau penternakan.
"Selain bantuan modal, penerima perlu menimba ilmu berkaitan bidang yang dilakukan supaya hasilnya setimpal dengan usaha sekaligus menjana pendapatan yang lebih baik," kata pengusaha halia itu.
"Usaha itu secara tidak langsung membolehkan pekebun kecil menyumbang kepada aspek keterjaminan makanan negara menerusi pemilihan tanaman atau ternakan yang kerap mendapat permintaan ramai atau mempunyai pasaran besar," katanya.
Seorang lagi peserta Felcra, Shamsiah Osman, 58, yang menetap di Pusat Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Salong juga di Pekan mengakui penggunaan tanah di kebunnya yang diusahakan dengan ternakan madu kelulut meningkatkan pendapatannya sehingga bergelar usahawan Felcra pada masa kini.
"Saya mengusahakan madu kelulut dengan meggunakan dividen dan pelbagai bantuan kerajaan. Bermula dengan enam sarang, kini terdapat lebih 90 sarang semuanya. Sebab itu saya berharap peserta Felcra untuk merebut peluang yang disediakan untuk meningkatkan ekonomi kita," katanya. - BERNAMA