Menghadkan umur kahwin: Perbincangan sudah bermula - Hannah Yeoh
Muhafandi Muhamad
Julai 28, 2018 18:26 MYT
Julai 28, 2018 18:26 MYT
Kerajaan Persekutuan amat komited dalam menghadkan umur perkahwinan di negara ini.
Bagi merealisasikan ketetapan tersebut, perjumpaan dengan ketua menteri, menteri besar dan Exco terlibat akan diadakan selepas tamat sesi Parlimen nanti.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, kementeriannya sudah memulakan perbincangan melibatkan menteri-menteri berkaitan, termasuk yang dalam bidang agama dan undang-undang.
Ujarnya, pernikahan bawah umur dipandang serius kerana statistik sepanjang 10 tahun lalu merekodkan lebih 10,000 kes pernikahan bawah umur melibatkan orang Islam dan 4,999 kes bagi bukan Islam di seluruh negara.
"Sebelum kita melaksanakannya, kita perlu faham terdahulu kenapa jumlah kes begitu tinggi. Lima belas ribu bukan satu nombor yang kecil.
"Ini bukan masalah di Kelantan sahaja, Sarawak juga banyak menikahkan pasangan bawah umur kerana adat nenek moyang mereka.
"Usaha untuk menetapkan had umur perkahwinan ke 18 tahun ke atas memerlukan persetujuan dan komitmen semua pihak, bukan sahaja Kementerian Wanita dan ahli parlimen wanita. Ahli parlimen lelaki juga harus memikul tanggungjawab termasuk semua menteri besar dan ketua Menteri," kata Yeoh di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan juga perlu diselaraskan di semua negeri.
"Kalau ada antara negeri yang membenarkan pernikahan bawah umur, ramailah akan pergi ke negeri itu untuk bernikah!" tambahnya.
Bagaimanapun, Yeoh enggan mengulas lanjut mengenai kes seorang lelaki berusia 41 tahun yang menikahi seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini kerana "siasatan masih dijalankan."
Katanya, perkara tersebut akan dijawab oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyakat pada sesi Parlimen nanti.