Menghadap Agong: Pengamal media tidak dibenar berada dekat pintu 2 Istana Negara

Hasimi Muhamad, Ridauddin Daud
Jun 10, 2021 11:12 MYT
Pengamal media ditempatkan kira-kira 200 meter dari pintu 2 Istana Negara. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengamal media yang membuat liputan siri pertemuan wakil-wakil ketua politik dengan Yang di-Pertuan Agong hari ini diarahkan untuk tidak berada berdekatan pintu 2 Istana Negara berikutan isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi Astro AWANI, polis telah diarahkan oleh pihak Istana Negara untuk membuat kawalan di kawasan berkenaan.
“Maaf, PDRM telah diarahkan oleh pihak Istana (Negara) untuk membuat kawalan.
“Sila patuhi arahan polis yang telah menetapkan tempat untuk pihak media membuat liputan.
“Kerjasama tuan/puan amat dihargai,” demikian katanya ringkas menerusi WhatsApp hari ini.
Ketika ini, pengamal media ditempatkan kira-kira 200 meter dari pintu 2 Istana Negara manakala sebuah kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pula diletak di hadapan pintu 2 Istana Negara.
Difahamkan, arahan tersebut dikeluarkan susulan dakwaan pengamal media gagal memastikan penjarakan fizikal ketika membuat liputan pada hari pertama pertemuan wakil ketua pemimpin politik di Istana Negara pada Rabu.
Beberapa keping gambar berkenaan dilihat tular di media sosial.
#Istana Negara #Pintu 2 #pengamal media #SOP #Anuar Omar #200 meter #media sosial #WhatsApp #Yang di-Pertuan Agong #PDRM
;