Menghadap Agong: Anwar serah dua dokumen kepada Al-Sultan Abdullah

Hasimi Muhamad, Ridauddin Daud
Jun 10, 2021 16:00 MYT
Menurut sumber Astro AWANI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan dua dokumen penting berkaitan COVID-19 dan ekonomi negara kepada Al-Sultan Abdullah. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan dua dokumen ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu.
Maklumat itu dikongsi oleh sumber yang memaklumkan Presiden PKR itu menyerahkan dua dokumen penting berkaitan COVID-19 dan ekonomi negara.
"Beliau ada menyerahkan dua dokumen penting tentang cara menyelesaikan masalah COVID dan juga cara membangun semula ekonomi dan negara yang kian lumpuh.
"Ini merupakan komitmen Anwar bahawa beliau serius, komited dan mempunyai agenda yang jelas," kata sumber tersebut kepada Astro AWANI.
Anwar dalam kenyataannya kepada media semalam berkata, isu pembentukan kerajaan baharu tidak dibangkitkan ketika menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu selepas sejam menghadap Seri Paduka Baginda.
“Itu (pembentukan kerajaan baharu) soal yang tidak berbangkit sekarang,” katanya kepada pemberita di pekarangan pintu 2 Istana Negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, selama sejam pertemuan dengan Seri Paduka Baginda, beliau turut mengemukakan pandangan berhubung penamatan Proklamasi Darurat.
Selain itu, Anwar berkata laporan dan dokumen sokongan turut dikemukakan kepada Al-Sultan Abdullah bagi pertimbangan baginda.
“Kita tengok semua langkah yang perlu dilakukan tidak memerlukan darurat. Kita merayu kepada Tuanku supaya menghalang penerusan ini sedaya upaya walaupun Tuanku tepat mengatakan jatuh kepada semangat Raja Berperlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri,” katanya.
Selain itu, turut dibangkitkan adalah mengenai pembukaan semula Parlimen dan keyakinan pelabur terhadap keadaan ekonomi negara.
Tambah Anwar, Al-Sultan Abdullah berlapang dada mendengar semua pandangan tersebut.
Dakwa Anwar, penerusan pelaksanaan Proklamasi Darurat tidak membantu mengurangkan jangkitan COVID-19, selain hanya membebankan rakyat khususnya golongan bawahan.
#Anwar Ibrahim #Agong #Yang di-Pertuan Agong #YDPA #menghadap Agong #dua dokumen
;