Mengenang Tunku: 'Tanah Tumpahnya Darahku' bawa makna besar buat Tok
Azyyati Ahmad
Februari 7, 2015 07:49 MYT
Februari 7, 2015 07:49 MYT
Memetik rangkap ‘Tanah Tumpahnya Darahku’ di dalam lagu Negaraku, cucunda kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Datin Sharifah Menjelara Hussein mengakui bahawa lirik lagu kebangsaan itu memberi makna besar buat nendanya.
Kata Sharifah, 51, semakin lama beliau mula mengerti dan berasa lebih dekat dengan makna lagu kebangsaan yang ditulis Tunku pada tahun 1957 itu.
“Ada satu peristiwa yang pernah diceritakan kepada saya mengenai adik Tok iaitu Tunku Yusuf yang sudah lama meninggal dunia dan disemadikan di Bangkok pada tahun 1915. Pemergian Tunku Yusuf telah memberi kesan yang amat besar buat Tok. Tak siapa tahu, selama ini Tok menyimpan hasrat membawa pusara adiknya itu kembali ke tanah air. Dengan bantuan beberapa orang akhirnya impian Tok dapat dicapai. Saya ketika itu tidak mengerti mengapa Tok bersungguh benar.
“Begitu juga ketika saya masih belajar di England, Tok pernah mengutus surat meminta saya pulang ke Malaysia dan bekerja di Wisma Putra. Kata Tok, “Baliklah ke Malaysia, berkhidmat untuk negara”.
“Bila difikirkan kembali, sekarang saya mengerti, bahawa perkataan ‘Tanah Tumpahnya Darahku’ yang ditulisnya itu sangat besar maknanya buat Tok. Semangat cintakan negara dan rakyat itu memang sebati dalam jiwanya. Tok sendiri selalu mahukan semua ahli keluarganya berada di tanah air dan kekal bersama,” cerita Sharifah dalam ucapannya 'Tunku, a voice from the heart' sempena Hari Keputeraan Tunku yang ke 112 tahun di Memorial Tunku Abdul Rahman pada Sabtu.
Tambah Sharifah, apa yang manisnya mengenai nendanya adalah beliau selalu berkata bahawa segala pencapaiannya datang dari Allah SWTdan bondanya, setiap kali orang bertanya atau memuji dirinya.
“Kalau orang tanya, di mana datangnya semangat kenegaraannya dan jiwa rakyatnya, Tok akan mengaitkannya dengan cerita mengenai bondanya, Cik Menjelara iaitu isteri kepada Sultan Kedah. Tak pernah beliau berkata tentang dirinya, seringkali Tok akan cakap bahawa yang baik itu datang dari bondanya itu dan juga Allah SWT.
"Dan nama saya adalah bersempena nama bonda Tok,” tambahnya lagi.
Sharifah turut berkongsi mengenai ingatan-ingatan yang diberi oleh nendanya itu yang sering diujarkan ketika hayat nenda masih ada.
“Tok seorang yang tak banyak bercakap di rumah. Beliau seorang yang tenang dan banyak menggunakan kata-kata kiasan dalam berbicara. Itu sebenarnya lebih besar ertinya.
Namun Tok selalu ingatkan kami semua agar menghargai dan menghormati setiap orang tak kira siapa. Katanya, terima kekurangan kita dan begitu juga kekuatan diri sendiri,” imbas Sharifah yang merupakan anak kepada Tunku Khadijah dan Syed Hussein iaitu anak pertama Tunku.
Walaupun menjadi cucu kepada Perdana Menteri pertama negara, Sharifah sendiri tidak pernah menceburi bidang politik walaupun banyak diberi galakan oleh nendanya itu.
“Ini merupakan kali pertama saya bercerita tentang Tok di hadapan umum, selalunya hanya dalam majlis tertutup. Tok selalu mahu saya berkhidmat untuk rakyat dan berkhidmat untuk negara yang ketika itu tidak ramai pemimpin wanita.
Namun saya sendiri akhirnya tidak menceburi politik. Tetapi saya masih berjaya dalam bidang sendiri kerana kata-kata dan semangat Tok yang saya guna hingga ke hari ini,” katanya yang juga merupakan Pengarah Urusan M&C Saatchi Malaysia.
Tunku dilahirkan pada 8 Februari 1903 dan meninggal dunia pada 6 Disember 1990.